KOTA KINABALU: KKIP Sdn Bhd terus memperkukuh kedudukannya sebagai pemaju hartanah utama di Sabah dengan pelancaran projek perumahan V21 Residence Fasa 1 Peringkat 2 di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), yang menampilkan kediaman lengkap dengan kelengkapan moden dan teknologi pintar.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KKIP Sdn Bhd, Datuk Lawrence G. Kimkuan, berkata pelancaran V21 Residence Fasa 1 Peringkat 2 menandakan satu lagi langkah besar dalam usaha membangunkan bandar pintar bersepadu di kawasan perindustrian terbesar di Sabah.
“Projek perumahan V21 Residence Fasa 1 Peringkat 1 telah disiapkan sepenuhnya dengan 1,221 unit kediaman dan telah diserahkan kepada pembeli, manakala Fasa 1 Peringkat 2 melibatkan 960 unit baharu yang kini dibuka untuk jualan.
“Harga rumah bagi V21 Residence Fasa 1 Peringkat 2 bermula daripada RM168,000 untuk unit satu bilik, RM213,000 bagi dua bilik dan RM345,000 untuk tiga bilik. Setiap unit dilengkapi sepenuhnya dengan perabot, kelengkapan dapur, penghawa dingin, internet berkelajuan tinggi serta kemudahan pengecasan kenderaan elektrik (EV),” katanya kepada Sabah Media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Jual Beli V21 Residence Fasa 1 Peringkat 2 di Sales Gallery KKIP di sini, hari ini.

Menurut Lawrence, pembeli tidak perlu membuat pembelian tambahan kerana semua unit disiapkan sepenuhnya, termasuk sistem pengurusan air, elektrik dan pengecas EV yang boleh dikawal melalui aplikasi mudah alih khas.
Beliau menjelaskan, tanah pembangunan KKIP seluas 1,000 ekar menjadikannya antara bank tanah terbesar di kawasan bandar. Pihaknya merancang untuk membina sekurang-kurangnya 20,000 unit kediaman dalam tempoh 10 tahun akan datang.
“Bagi projek perumahan V21 Residence sahaja, pelan pembangunan jangka panjang melibatkan enam peringkat dengan keseluruhan 6,500 unit rumah. Setakat ini, sambutan terhadap fasa 1 peringkat 2 amat menggalakkan apabila semua 285 unit dalam Blok 3 telah habis dijual, manakala Blok 5 mencatat kira-kira 70 peratus jualan.
“Unit baharu di V21 Residence Fasa 1 Peringkat 2 juga direka dengan saiz lebih besar antara 100 hingga 150 kaki persegi berbanding Peringkat 1, namun masih mengekalkan harga yang kompetitif bagi setiap kategori,” katanya.
Lawrence berkata, KKIP bukan sekadar menjual rumah, tetapi berhasrat membina komuniti yang berkembang dengan fasiliti berkualiti dan kos sara hidup yang mampu milik.
“Hanya melalui pembangunan komuniti mampan yang disokong oleh kemudahan moden dan teknologi hijau, KKIP dapat mewujudkan persekitaran ekonomi yang berdaya maju serta menyumbang kepada pertumbuhan sektor hartanah dan perindustrian di Sabah,” tambahnya.



