PRN SABAH
HomePRNIbu tiga anak hargai bantuan rumah SMJ selepas tempuh pelbagai cabaran hidup

Ibu tiga anak hargai bantuan rumah SMJ selepas tempuh pelbagai cabaran hidup

Read Time:1 Minute, 57 Second

Oleh Eviana Mazinal

KOTA BELUD : Selepas melalui pelbagai cabaran hidup, seorang ibu kepada tiga anak akhirnya menemui sinar bahagia apabila keluarganya menerima bantuan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ).

Safrah Minin, 42, berkongsi detik getir yang dialami keluarganya sejak suaminya, Amizan Bujang, 42, didiagnosis sebagai pesakit buah pinggang pada tahun 2015 yang memaksa suaminya menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu.

“Tidak lama selepas itu, suami saya yang bekerja sebagai Pembantu Perawatan Kesihatan di Klinik Kesihatan Kampung Jawi-Jawi pula mengalami cirit-birit kronik dan terpaksa dimasukkan ke hospital beberapa kali.

Safrah Minin

“Tidak terhenti di situ. Pada tahun 2021 hingga 2022, suami saya terpaksa bercuti tanpa gaji dan akhirnya mengambil keputusan untuk bersara awal pada usia 38 tahun akibat keadaan kesihatannya,” katanya ketika ditemui Sabah Media di sini pada Khamis.

Berikutan situasi itu, Safrah mengambil langkah mendaftar di sistem e-Kasih pada pertengahan 2023 untuk memohon bantuan yang ditawarkan kerajaan.

Katanya, hasil dari itu (mendaftar sistem e-Kasih) pada tahun 2024, mereka menerima rumah baharu melalui program SMJ.

“Kini kehidupan kami jauh lebih selesa. Rumah lama kami panas kerana dinding zink dan hanya mempunyai satu bilik.

“Dengan rumah baharu, setiap anak dan suami saya mempunyai bilik sendiri, memberi mereka privasi dan ruang untuk berehat,” katanya.

Rumah lama Safrah (kiri) yang sebelum ini sering dinaiki air sehingga paras buku lali dan terpaksa berpindah ke rumah keluarga demi keselamatan

Detik manis mereka menerima bantuan kerajaan turut dikenang Safrah. Beliau terkejut apabila pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hadir meninjau keadaan mereka, bersama penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pintasan, Datuk Fairuz Renddan.

“Datuk Fairuz terus perhatikan mesin jahit saya yang rosak, yang merupakan salah satu sumber pendapatan saya. Seminggu selepas itu, wakil beliau datang membawa mesin jahit baharu tanpa diminta.

“Malah, pada Ramadan 2023, mangkuk tandas rumah kami pecah selepas sahur, dan pada tengahari yang sama, wakil Datuk telah datang membaikinya,” katanya.

“Kalau boleh, saya harap Datuk Fairuz terus bertanding. Beliau satu-satunya wakil rakyat yang benar-benar bekerja dengan pantas dan penuh dedikasi.

“Sebelum era beliau, perubahan di sini hampir tidak kelihatan, malah kami jarang bertemu wakil rakyat,” ujar Safrah yang menetap di Kampung Rudang, Pintasan.

Dengan bantuan rumah SMJ dan perhatian pantas wakil rakyat, kehidupan keluarga Safrah kini lebih tenang dan selesa, menjadi bukti bahawa perhatian serta tindakan cepat dari pihak berkuasa mampu mengubah nasib rakyat yang memerlukan. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Program Pembersihan Pantai Tahunan Ke-11 teguhkan komitmen FOSTER terhadap pemuliharaan penyu...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular