PRN SABAH
HomeSukanKomodo Dragon STAR II bawa cabaran Sabah ke kejohanan ragbi Cobra 10's

Komodo Dragon STAR II bawa cabaran Sabah ke kejohanan ragbi Cobra 10’s

Read Time:1 Minute, 31 Second

KOTA KINABALU :  Pasukan ragbi bawah 12 tahun Komodo Dragon mewakili Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Aru II bakal membawa cabaran Sabah ke Kejohanan Ragbi Cobra 10’s yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini di Padang Astaka, Petaling Jaya, Selangor.

Seramai 14 pemain muda terpilih menyertai pasukan ini, termasuk seorang murid Program Pendidikan Khas Inklusif (PPKI), menjadikan penyertaan mereka bukan sahaja signifikan dari aspek sukan tetapi juga dari sudut inklusiviti dalam pembangunan atlet cilik.

Turut mengiringi pasukan ialah tujuh pegawai, diketuai oleh Guru Besar SK Tanjung Aru II Pg Siti Noorsiah Pg Abdullah yang juga Ketua Kontinjen dan Pengurus Pasukan, Abd. Rahman Suliman.

Abd Rahman berkata, pasukan Komodo Dragon akan memulakan cabaran mereka dengan menentang pasukan tuan rumah daripada Kelab Cobra pada pagi ini.

Katanya, pertemuan ini dijangka menjadi ujian awal yang penting bagi mengukur kemampuan atlet muda Sabah di pentas lebih kompetitif.

Menurutnya, penyertaan ke kejohanan besar di Semenanjung ini bertujuan memberi pendedahan awal kepada pemain muda sebelum mereka menyertai Kejohanan Ragbi Antarabangsa Bangkok 10’s di Thailand pada tahun hadapan.

“Langkah ini dilihat sebagai sebahagian strategi jangka panjang bagi memperkukuh asas sukan ragbi di sekolah rendah, sekali gus melahirkan lebih ramai bakat muda dari Sabah.

“Saya berharap agar pasukan ini dapat memberikan persembahan terbaik sepanjang kejohanan. Sebagai pengurus pasukan saya berharap Komodo Dragon dapat mencapai keputusan terbaik di Cobra 10’s.

“Apa yang lebih penting, pengalaman ini akan mematangkan pemain dan mendorong perkembangan sukan ragbi di Sabah,” katanya.

Pasukan Komodo Dragon menjadi antara contoh terbaik komitmen sekolah-sekolah di Sabah dalam memperkasakan sukan ragbi di peringkat akar umbi.

Dengan latihan intensif, sokongan ibu bapa, serta program inklusif yang melibatkan murid PPKI, pasukan ini dilihat sebagai model pembangunan atlet muda yang progresif.

Terdahulu, Abd Rahman turut merakamkan penghargaan kepada penaja utama JETAMA Sdn Bhd. Redefining Water and Energy. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Sukan

Piala FA : Sabah ke pentas akhir selepas penantian 27 tahun

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular