PRN SABAH
HomeUtamaBelia serlah kemahiran menerusi projek komuniti

Belia serlah kemahiran menerusi projek komuniti

Read Time:2 Minute, 6 Second

Oleh J Evachel John

KENINGAU: Sekumpulan belia membuktikan bahawa kemahiran teknikal dan vokasional mampu memberi impak positif kepada masyarakat apabila mereka berjaya membaik pulih bangunan Sekolah Rendah Kampung Keningau melalui projek “Steel Steady”.

Projek berasaskan khidmat masyarakat itu digerakkan oleh pelajar Kolej Vokasional (KV) Keningau menerusi Program Teknologi Kimpalan di kolej berkenaan dengan dana RM15,000 daripada Impact Malaysia, sebuah agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan Malaysia.

Pengarah KV Keningau, Lumang anak Lang, berkata projek berkenaan merupakan salah satu daripada 10 projek terpilih di seluruh negara yang menerima geran Akademi Rakan Muda, bertujuan memperkasa belia melalui aktiviti kesukarelawanan dan kebajikan komuniti.

Selain pelajar KV Keningau, inisiatif yang disertai hampir 100 sukarelawan belia itu turut melibatkan pelajar dari Kolej Geomatika, Sekolah Menengah (SM) St. Francis Xavier, SM Gunsanad dan SM Apin-Apin.

Katanya, sebelum projek dimulakan, sukarelawan menghadiri bengkel asas mengimpal di KV Keningau.

Ia kemudiannya disusuli dengan kerja-kerja pembaikan yang dilaksanakan di beberapa bangunan di lokasi yang telah dikenalpasti memerlukan pembaikan dan naik taraf.

“Antara kerja pembaikan dan naik taraf yang berjaya dilaksanakan adalah pemasangan susur tangan dan pengadang pintu tangga, pemasangan jeriji longkang, penyelenggaraan kipas dan soket, penggantian papan lantai kayu, pemasangan jaring nyamuk, pembinaan papak lantai konkrit dan proses mengecat serta kerja-kerja pembersihan.

“Kerja-kerja ini bertujuan menjadikan bangunan bilik darjah, ruang solat dan bilik guru lebih selamat, selesa dan kondusif untuk kegunaan warga sekolah,” katanya.

Menurut Lumang, proses kerja ini memerlukan beberapa kemahiran dan peralatan yang berkaitan dengan bidang-bidang ketukangan.

“Justeru, para pelajar KV Keningau yang terlibat dalam projek ini adalah mereka yang berkhususkan dalam teknologi kimpalan, elektrik, pembinaan serta program lain iaitu automotif dan kosmetologi.

“Selain daripada kerja pembaikan, ianya juga melibatkan bimbingan kepada para sukarelawan yang tidak mempunyai kemahiran dalam bidang-bidang ketukangan dan ini dilaksanakan oleh para pelajar KV yang berpengalaman.”

Tambahnya, beliau terharu dengan usaha pasukan ini dalam menjayakan projek komuniti ini untuk manfaat para guru dan murid-murid di sekolah tersebut.

“Mereka bukan sahaja menggunakan kemahiran mereka untuk membantu masyarakat malah membimbing dan melatih para sukarelawan daripada sekolah-sekolah dan institut institut pendidikan di sekitar Keningau dalam bidang asas ketukangan terutamanya kemahiran mengimpal,” katanya.

Projek pembaikan dan pemulihan yang dilaksanakan pada 24 dan 25 Oktober lalu itu diketuai oleh guru Teknologi Kimpalan, Firdaus Sariman, dengan bimbingan Ketua Program Kimpalan, Azme Budiman, dan Penyelaras Bengkel Program Vokasional, Nabil Fikri.

Manakala pelajar Nur Alia Ayuni Muhammad Husrin, Andrew Mark Dalubatan dan Dylan Ivander Lucas mengetuai pasukan yang dianggotai oleh ramai ahli dari program kimpalan serta program program teknologi yang lain.

RELATED ARTICLES
Utama

Program Pembersihan Pantai Tahunan Ke-11 teguhkan komitmen FOSTER terhadap pemuliharaan penyu...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular