Oleh Sitti Nor Azizah Talata
TAWAU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) lahir daripada perjuangan untuk memastikan usaha memelihara kepentingan dan hak rakyat Sabah dilakukan mengikut acuan negeri itu sendiri, kata Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.
Beliau berkata, penyertaan pemimpin-pemimpin Sabah dalam pembentukan GRS bukan didorong oleh kepentingan politik peribadi, sebaliknya atas kesedaran untuk memperjuangkan hak serta masa depan negeri secara tersendiri.
“Kita berjuang dalam GRS atas kesedaran sebagai rakyat Sabah yang mempunyai hak dan keperluan tersendiri. Kita mahu membawa lebih banyak manfaat kepada rakyat Sabah mengikut acuan Sabah,” katanya.
Nizam yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas berkata, demikian ketika ditemui media selepas merasmikan bangunan Pandu Puteri di Jalan Mawar di sini, hari ini.
Menurutnya, konsep perjuangan GRS berteraskan semangat “Rumah kita, kita jaga” yang menuntut setiap pemimpin dan rakyat negeri itu untuk memelihara Sabah agar terus terjaga, terpelihara dan tidak lagi terpinggir seperti dahulu.
“Kita mesti menerapkan semangat Sabah, tanahair kita. Sebab itu ramai pemimpin memilih untuk bersama GRS kerana asas perjuangan ini jelasnuntuk menjaga rumah kita sendiri,” ujarnya.
Beliau menegaskan, perjuangan GRS tidak berasaskan kepentingan kelompok tertentu, tetapi berpaksikan kesejahteraan rakyat serta pembangunan negeri yang mampan dan stabil.



