PRN SABAH
HomePRNPandu Puteri Tawau bukti semangat dan komitmen tinggi, lahir dari usaha ahli...

Pandu Puteri Tawau bukti semangat dan komitmen tinggi, lahir dari usaha ahli sendiri

Read Time:1 Minute, 48 Second

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

TAWAU: Pembinaan bangunan baharu Pandu Puteri Tawau bukan sekadar simbol kemajuan organisasi itu, tetapi lambang kepada semangat, kesungguhan dan komitmen tinggi ahlinya sendiri yang telah berjuang selama hampir dua dekad untuk merealisasikan impian tersebut.

Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kejayaan mewujudkan bangunan berkenaan membuktikan kekuatan semangat kesukarelawanan dalam kalangan ahli Pandu Puteri, khususnya golongan remaja yang turut menyumbang tenaga dan idea bagi menjayakan projek tersebut.

“Apa yang menyentuh hati saya ialah kesungguhan ahli-ahli Pandu Puteri Tawau, termasuk yang masih muda, yang melakukan pelbagai kerja kemasyarakatan bagi mengumpul dana membantu pembinaan bangunan ini.

“Ini satu contoh yang boleh dijadikan inspirasi kepada organisasi lain — bahawa kemajuan tidak hanya bergantung pada bantuan luar, tetapi pada keikhlasan dan komitmen ahli dalam perjuangan mereka,” katanya ketika berucap sempena perasmian Bangunan Pandu Puteri Tawau di Jalan Mawar di sini, hari ini.

Tapak bangunan itu telah diwartakan oleh kerajaan sejak tahun 1963 bagi kegunaan persatuan beruniform termasuk Pandu Puteri.

Namun, usaha pembinaannya hanya bermula selepas Pandu Puteri Tawau mula mengumpul dana melalui pelbagai aktiviti seperti golf amal, makan malam, jualan amal dan lain-lain sejak 2005, sebelum projek pembinaan benar-benar dimulakan pada akhir 2023.

Difahamkan, anggaran kos keseluruhan pembinaan bangunan berkenaan adalah kira-kira RM200,000, yang dibiayai sepenuhnya hasil sumbangan swasta, persendirian serta dana daripada Ibu Pejabat Pandu Puteri Malaysia.

Sementara itu, Nizam turut menyifatkan Pandu Puteri Tawau sebagai antara NGO yang paling aktif dan menonjol di daerah ini, bukan sahaja melalui aktiviti luar tetapi juga penglibatan mereka dalam bidang kokurikulum di sekolah-sekolah seluruh Sabah.

“Sumbangan Pandu Puteri amat penting dalam membentuk pelajar yang berintegriti dan bertanggungjawab. Mereka bukan sahaja mendidik di peringkat sekolah, malah turut mendekati masyarakat setempat melalui pelbagai program,” jelasnya.

Beliau berharap dengan adanya markas baharu Pandu Puteri Tawau, organisasi itu akan terus berkembang dan memainkan peranan besar dalam melahirkan wanita muda yang berjati diri tinggi, berpegang pada prinsip Rukun Negara, serta mampu menjadi penyumbang kepada pembangunan negeri dan negara.

“Rumah Pandu Puteri ini diharap menjadi suntikan semangat baharu untuk melahirkan generasi wanita yang bertanggungjawab, menghormati agama dan pemimpin, serta berjiwa besar demi kemajuan Sabah dan Malaysia,” ujarnya.

RELATED ARTICLES
Utama

Ribuan umat Islam hadir solat jenazah Allahyarham Bung Moktar Radin di...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular