RANAU: Platform media sosial ‘Masidi Manjun FANS (MMF)’ terus menjadi jambatan penting yang menghubungkan masyarakat Ranau dengan perkembangan dan aktiviti Datuk Seri Masidi Manjun, selari dengan keperluan komunikasi pantas pada era digital.
Seiring perubahan trend semasa, platform tersebut bukan sahaja memudahkan penyebaran maklumat, malah membuka ruang interaksi secara langsung antara pemimpin dan masyarakat, khususnya golongan muda.
Inisiatif itu diterjemahkan melalui penganjuran Program Coffee Break with Masidi x Anak Muda — Vol 2.0 yang diadakan di Kibbas Junction, di sini.

Program tersebut menerima sambutan memberangsangkan apabila ramai belia hadir untuk berdialog secara terbuka bersama Masidi.
Program itu memberi peluang kepada anak muda mengemukakan soalan, berkongsi pandangan serta mencadangkan idea secara bersemuka, sekali gus memperkukuh hubungan dua hala antara pemimpin dan masyarakat setempat.
Orang ramai boleh mengikuti perkembangan MMF melalui Facebook, TikTok dan Instagram dengan carian ‘Masidi Manjun FANS’.
Usaha ini adalah kerjasama MMF bersama Pergerakan Muda Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) DUN Karanaan dalam memperluas penyertaan belia dan menggalakkan penglibatan mereka dalam hal kemasyarakatan.- SABAH MEDIA



