PRN SABAH
HomePRNGRS hormati keputusan dua bekas ahli bertanding atas tiket PKR

GRS hormati keputusan dua bekas ahli bertanding atas tiket PKR

Read Time:1 Minute, 28 Second

Oleh Florieta Diet

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak menganggap tindakan dua bekas ahlinya yang diumumkan sebagai calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) semalam (9 November) sebagai isu besar, sebaliknya menghormati keputusan mereka untuk bertanding di bawah parti lain.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata keputusan itu merupakan hak individu dalam sistem demokrasi dan tidak menjejaskan kedudukan GRS.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Sekretariat Sabah Maju Jaya dan Malayan Banking Berhad (Maybank) di Dewan Bankuasi, Menara Kinabalu, di sini hari ini.

Ketika ditanya mengenai keahlian mereka dalam parti, Hajiji menjawab, “Mereka telah menjadi calon PKR. Mereka tidak lagi boleh menjadi ahli GRS dan kita sudah pun melepaskan mereka. Itu hak demokrasi mereka memilih untuk menjadi calon PKR,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa dinamika politik di Sabah sentiasa berubah dan penyertaan dua bekas ahli GRS sebagai calon PKR tidak menjejaskan hubungan antara parti dalam kerajaan.

“Kebetulan kita adalah rakan dalam kerajaan. Jadi bagi saya, tidak apa-apa. Itulah dinamik politik di Sabah,” katanya.

Menjawab dakwaan bahawa GRS kononnya menggalakkan mereka bertanding atas tiket PKR, Hajiji menafikan perkara itu.

“Tidak, saya tidak boleh mengatakannya. Itu hak demokrasi mereka. Kita tidak boleh menggalakkan. Terpulang kepada mereka, dan perkara itu sudah pun berlaku,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa GRS akan tetap menyokong mereka kerana mereka merupakan calon Pakatan Harapan (PH), rakan dalam kerajaan.

“Sudah tentu kita akan menyokong kerana mereka adalah calon PH,” katanya.

Sementara itu, mengulas kenyataan Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick, mengenai peletakan jawatannya dalam Kabinet susulan isu peribadi dan dikaitkan dengan keputusan Kerajaan Persekutuan berkaitan MA63, Hajiji enggan mengulas lanjut.

“Itu saya tidak boleh komen. Kita sudah buat kenyataan sebelum ini. Kalau boleh, kita tidak mahu Kerajaan Pusat membuat rayuan begitu,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Ladang Sayur Bukit Layang-Layang jadi model pertanian berimpak tinggi — Jamawi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular