Oleh Penulis Tamu
Apabila Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 November 2025 sebagai hari pengundian Pilihan Raya Negeri Sabah, satu kerusi yang menjadi tumpuan adalah N.30 Bongawan. Pertembungan tiga tokoh utama di kawasan ini iaitu Datuk Mohamad Alamin, Dr Daud Yusof, dan Tan Sri Anifah Aman, mencerminkan bukan sahaja persaingan politik, tetapi juga pertembungan antara rekod khidmat, keutamaan dan nilai kesetiaan.
Bagi pengundi Bongawan, ini bukan sekadar soal parti mana yang akan menang, tetapi siapa yang paling layak memimpin dan membawa pembangunan sebenar kepada rakyat setempat.
Dr Daud Yusof adalah anak jati Bongawan, dan hubungannya dengan masyarakat tempatan diakui ramai. Namun setelah dua penggal menjadi ADUN, persoalan besar timbul iaitu apa perubahan besar yang benar-benar berlaku di Bongawan di bawah kepimpinannya?
Beliau sering menyatakan bahawa kekangan pembangunan berpunca daripada ketiadaan peruntukan atau tidak diberi peluang oleh kerajaan negeri dan pusat. Tetapi adakah alasan ini masih relevan setelah hampir satu dekad berkhidmat? Malah, Dr Daud juga adalah ADUN semasa kerajaan WARISAN mentadbir Sabah. Jika pada waktu partinya sendiri memegang kuasa pun pembangunan tidak ketara, bagaimana pula sekarang?
Sebagai wakil rakyat, beliau sepatutnya berfikiran jauh dan berani berinovasi, bukan hanya menunggu peluang datang. Pepatah Melayu menyebut, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Jika benar tidak diberi peluang di peringkat negeri atau persekutuan, mengapa tidak berfikir di luar kotak dan membinajaringan dengan sektor swasta, mempelawa pelaburan tempatan, atau menggerakkan ekonomi komuniti sendiri?
Keputusan Datuk Mohamad Alamin, Ahli Parlimen Kimanis dan Timbalan Menteri Luar Negeri, untuk bertanding di DUN Bongawan juga menimbulkan persoalan penting. Sebagai wakil rakyat di Parlimen dan seorang timbalan menteri yang sibuk dengan urusan luar negara, mampukah beliau memberi tumpuan sepenuhnya kepada keperluan harian rakyat Bongawan?
Sebagai MP, Timbalan Menteri, dan Ketua UMNO Bahagian Kimanis, tanggungjawabnya sudah berat. Maka timbul persoalan; berapa banyak jawatan perlu dipegang sebelum tumpuan kepada rakyat mula terbahagi? Undang-undang mungkin membenarkan, tetapi realiti masa tidak boleh digandakan.
Nama Tan Sri Anifah Aman sudah terpahat dalam sejarah negara. Sebagai Menteri Luar Negeri Malaysia (2009–2018), beliau membawa nama Malaysia dan Sabah ke pentas antarabangsa. Tetapi jasa terbesarnya bukan di luar negara – ia di bumi Sabah sendiri, melalui perjuangan menuntut hak negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Ramai mungkin terlupa bahawa Anifah Aman merupakan menteri kabinet pertama yang berani membawa isu MA63 ke mesyuarat Jemaah Menteri.
Ketika Menteri Kabinet lain dari Sabah berdiam diri, beliau berdiri sendirian memperjuangkan hak negeri. Beliau membiayai sendiri kajian perlembagaan dan penyelidikan undang-undang bagi membuktikan asas tuntutan Sabah terhadap 40 peratus hasil negeri yang dijanjikan di bawah MA63.
Malah, beliau mengumpulkan tokoh-tokoh seperti Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan, Datuk Seri Yong Teck Lee, Datuk Ansari Abdullah, Allahyarham Zainal Ajamain serta beberapa peguam Sabah, membiayaiperjuangan MA63 termasuklah penyerahan memorandum kepada Perdana Menteri sendiri pada Ketika itu.
Beliau juga mengadakan rundingan dengan Tan Sri Adenan Satem, Ketua Menteri Sarawak pada masa itu, bagi mengukuhkan solidariti Sabah–Sarawak dalam tuntutan MA63. Langkah inilah yang akhirnya membawa kepada pembentukan Jawatankuasa Khas MA63 di peringkat persekutuan. Ramai pemimpin lain hanya “meloncat masuk” ke isu ini selepas ia menjadi popular tetapi sejarah tidak boleh menipu siapa yang memulakan perjuangan sebenar.
Di arena antarabangsa, Anifah Aman dihormati oleh rakan sejawatnya dari ASEAN, Rusia, Ukraine, OIC, Kesatuan Eropah, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) termasuklah pentadbiran PresidenAmerika Syarikat.
Beliau seorang diplomat yang berprinsip dan disegani dunia. Bayangkan jika seorang pemimpin berpengalaman global sebegini memfokuskan seluruh tenaganya kepada satu kawasan kecil seperti Bongawan.
Dengan rangkaian pelabur, hubungan diplomatik, dan kredibiliti antarabangsa, Anifah mampu membawa peluang besar – pelaburan, latihan kemahiran, pendidikan, dan pekerjaan terus ke tanah Bongawan.
Ketika menjadi Ahli Parlimen Kimanis, beliau membuktikan keupayaan itu: membina Balai Polis, Balai Bomba, menaik taraf jalan utama dan stesen minyak, serta memperjuangkan projek mega seperti Sabah Oil & Gas Terminal (SOGT) dan Pusat Latihan Petronas yang melahirkan ratusan anak mudatempatan berkemahiran tinggi dan banyak lagi.
Semua ini dilakukan ketika beliau juga memegang portfolio berat sebagai Menteri Luar Negeri. Itu bukti kemampuan beliau berfikir dan bertindak di luar kotak.
Hari ini, pengundi Bongawan perlu menilai tiga gaya kepimpinan. Dr Daud Yusof – dua penggal, masih dengan alasan tiada peluang. Datuk Mohamad Alamin – memegang banyak jawatan, tetapi berapa banyak masa benar-benar di lapangan? Tan Sri Anifah Aman – seorang negarawan yang mahu kembali ke akar untuk menumpukan perhatian sepenuhnya kepada kawasan Bongawan.
Beliau tidak perlukan jawatan untuk membina nama. Beliau mahu peluang untuk membangunkan Bongawan. Dan inilah mungkin peluang terakhir bagi Bongawan untuk memanfaatkan pengalaman dan jaringan luar biasa seorang pemimpin yang pernah membawa Sabah ke peta dunia.
Pilihan raya kali ini bukan soal logo, bukan soal slogan. Ia tentang masa depan Bongawan. Pengundi harus bertanya pada diri – adakah mahu terus memilih pemimpin yang mencari alasan, atau pemimpin yang mencipta peluang? Dalam budaya Sabah, kesetiaan, keberanian dan budi adalah asas kepimpinan sejati.
Dan dalam ukuran itu, Tan Sri Anifah Aman berdiri paling tinggi bukan kerana nama, tetapi kerana rekod perjuangan dan keteguhan prinsipnya dalam membela Sabah.
Pada 29 November 2025, buatlah pilihan dengan hati dan fikiran yang rasional. Kerana kali ini, Bongawan tidak sekadar memilih ADUN, ia memilih masa depan.



