Oleh Florieta Diet
KOTA KINABALU: Ketua Dapsy Sabah yang juga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Luyang, Chan Loong Wei, memperkenalkan manifesto utama beliau iaitu “Lapan Tindakan Demi Luyang”, satu pelan pembangunan menyeluruh untuk kawasan itu.
“Keselamatan kediaman adalah asas sebuah bandar. Saya akan terus bekerja bersama penduduk di Kepayan Ridge dan kawasan lain untuk menyelesaikan isu perparitan, keselamatan, dan struktur bangunan yang menjejaskan kehidupan harian rakyat, agar setiap keluarga boleh tinggal dengan aman dan bermaruah.
“Saya juga berhasrat menghidupkan semula ekonomi Lido, menjadikan kawasan itu pusat tumpuan dengan pasar komuniti berkala, sokongan kepada peniaga kecil, dan suasana yang sesuai untuk keluarga dan golongan muda, bukan sekadar nama, tetapi benar-benar menjadi nadi bandaraya Kota Kinabalu,” katanya selepas pelancaran Bilik Operasi Pakatan Harapan Sabah untuk DUN Luyang pada Sabtu.
Chan juga berjanji untuk meneruskan usaha tebatan banjir di Lido. Beliau akan memperjuangkan lebih banyak naik taraf sistem perparitan agar rumah penduduk tidak lagi dinaiki air setiap kali hujan lebat.
Selain itu, beliau juga akan memberi tumpuan kepada masalah parkir di Hospital Ratu Elizabeth 1 (QE1) dengan mendesak pembinaan parkir bertingkat bagi mengurangkan beban pesakit dan keluarga.
“Untuk keselamatan waktu malam, saya akan memperluas program “Light Up Luyang”, memasang sekurang-kurangnya 100 lampu jalan solar setiap tahun agar kawasan perumahan lebih cerah dan selamat. Saya turut komited menjadikan Taman Ujana Rimba Tropika sebagai taman riadah moden mesra keluarga, warga emas dan kanak-kanak, menjadi “paru-paru” hijau untuk warga bandar.
“Dari segi komuniti dan budaya, saya akan merancang pembangunan Kampung Kopungit bersama penduduk kampung, memelihara budaya masyarakat tempatan, dan mewujudkan peluang ekonomi serta pelancongan budaya untuk anak-anak muda kampung tersebut,” katanya lagi.
Beliau turut memberi penekanan kepada pembangunan belia dan peluang ekonomi. Beliau mahu lebih ramai anak muda terlibat dalam sektor industri, ekonomi kreatif dan bidang keusahawanan agar anak muda Luyang dapat tinggal, bekerja dan membina masa depan yang baik di tanah sendiri.



