Oleh Penulis Tamu
Menjelang pilihan raya negeri Sabah pada 29 November 2025, satu persoalan semakin menjadi sebutan di kedai kopi, pasar dan ruang tamu penduduk Bongawan: siapakah sebenarnya yang mampu membuka pintu pembangunan untuk kawasan ini? Walaupun daerah di sekitarnya seperti Kimanis, Membakut dan Papar terus menerima limpahan pembangunan akibat industri tenaga, perdagangan dan infrastruktur baharu, Bongawan masih menunggu lonjakan yang benar-benar dapat mengubah kehidupan rakyatnya.
Potensi Bongawan tidak pernah dipersoalkan. Namun potensi semata-mata tidak akan membawa perubahan tanpa pemimpin yang memiliki pengalaman, rangkaian, dan kemampuan sebenar untuk menerjemahkannya kepada pembangunan nyata. Dalam perbualan rakyat, satu nama kembali timbul sebagai tokoh yang sudah lama membuktikan keupayaannya iaiatu Tan Sri Anifah Aman.
Semasa memegang jawatan Ahli Parlimen Kimanis dan Menteri Luar Negeri, Anifah telah memainkan peranan penting dalam membuka jalan pembangunan wilayah ini. Pertumbuhan industri minyak dan gas, pembentukan pusat latihan teknikal untuk belia, peluang pekerjaaan dalam sektor OGSE serta pembangunan infrastruktur sokongan bukan muncul secara kebetulan. Ia adalah hasil rundingan, perancangan dan hubungan antara agensi serta kementerian peringkat negeri dan persekutuan. Banyak keputusan yang beliau buat ketika itu terus memberi kesan sehingga hari ini, menjadi asas kepada ekonomi rantau Kimanis–Bongawan.
Namun sejarah pembangunan bukan hanya berkisar tentang projek fizikal. Ia berkait rapat dengan keberanian membawa isu hak Sabah ke peringkat tertinggi negara. Dalam hal ini, rekod Anifah sukar dinafikan. Beliau merupakan menteri kabinet pertama yang membawa Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) secara rasmi ke meja perbincangan kerajaan persekutuan, pada ketika ramai tokoh lain masih berdiam diri. Beliau menaja penyelidikan awal, mengatur pertemuan tokoh-tokoh Sabah merentasi parti politik, dan memudahcara penyerahan memorandum hak Sabah kepada Perdana Menteri ketika itu. Tindakannya mendahului zaman dan membuka jalan kepada apa yang hari ini menjadi agenda politik utama negeri.
Keberanian seperti ini membentuk gambaran jelas tentang gaya kepimpinan beliau yang bukan sekadar bercakap, tetapi bertindak. Tidak hairan apabila ramai melihat beliau bukan sahaja sebagai pemimpin berpengalaman, tetapi seorang pemikir dan pelaksana. Di saat pemimpin lain sering berdepan batasan atau memberikan alasan, rekod Anifah menunjukkan kecenderungan berfikir di luar kotak dan mencari jalan untuk memastikan sesuatu perkara boleh menjadi kenyataan.
Sentimen di Bongawan juga semakin jelas. Rakyat sudah penat mendengar alasan mengapa sesuatu tidak dapat dilakukan. Mereka tidak mahukan lagi lima tahun penantian yang berakhir dengan janji baharu. Mereka tidak mahu sekadar mendengar keyakinan, tetapi ingin melihat hasil. Mereka mahukan pemimpin yang datang bukan untuk mencuba, tetapi untuk melaksanakan. Pemimpin yang tidak perlu masa bertahun-tahun untuk belajar selok-belok pentadbiran atau membina rangkaian dari mula. Pemimpin yang sudah tahu bagaimana untuk mengetuk pintu yang betul atau lebih penting, pemimpin yang pintunya memang sentiasa dibuka untuknya.
Itulah penentu utama yang membezakan calon-calon hari ini. Pembangunan bukan hanya soal kerja keras atau komitmen dasar; ia juga soal akses. Dalam pentadbiran moden, tidak semua pemimpin mempunyai akses kepada penggubal dasar, pengerusi GLC, pelabur, dan kementerian yang menentukan arah projek pembangunan. Akses seperti ini tidak boleh dipinjam dan tidak boleh dicipta dalam masa singkat. Ia dibina daripada reputasi, pengalaman dan kepercayaan yang terbentuk selama puluhan tahun. Sehingga hari ini, akses itu kekal menjadi kelebihan besar Anifah. Kelebihan yang sangat diperlukan Bongawan jika mahu bergerak seiring dengan daerah-daerah maju lain di Sabah.
Ketika berbual dengan peniaga di pasar, petani, penjawat awam, golongan muda, dan keluarga di kampung-kampung sekitar Bongawan, harapan mereka semuanya berakar pada perkara yang sama: peluang pekerjaan yang stabil, sokongan kepada usahawan kecil, kemudahan pendidikan teknikal yang lebih dekat, urusan kerajaan yang lebih mudah, dan pembangunan pekan Bongawan yang lebih terancang. Mereka mahukan perubahan yang jelas, bukannya alasan mengapa perubahan sukar dicapai. Mereka mahukan halatuju yang meyakinkan, bukan percubaan yang belum terbukti.
Di sinilah pilihan raya kali ini menjadi begitu penting. Bongawan sedang berada di persimpangan besar.
Rakyat perlu menentukan sama ada mereka ingin memilih pemimpin yang telah lama membuktikan keupayaannya membuka pintu pembangunan, atau mengambil risiko memilih kepimpinan yang masih memerlukan masa panjang untuk membina pengalaman dan rangkaian.
Persoalan besarnya: adakah rakyat Bongawan sanggup menunggu lagi lima tahun untuk seseorang belajar, mencuba, dan membina laluan dari kosong?
Dengan rekod pembangunan wilayah, pengalaman nasional, prinsip dalam memperjuangkan MA63, serta akses politik dan pentadbiran yang jarang dimiliki mana-mana calon lain, peluang untuk membawa lonjakan pembangunan ke Bongawan sudah tersedia tetapi ia hanya boleh direalisasikan oleh pemimpin yang tahu bagaimana menggerakkannya.
Pada 29 November 2025 nanti, pengundi Bongawan tidak hanya memilih seorang wakil rakyat. Mereka memilih masa depan kawasan mereka. Dan dalam membuat keputusan itu, satu persoalan asas perlu dijawab dengan jujur:
Siapa sebenarnya yang mampu membuka pintu pembangunan untuk Bongawan?



