SANDAKAN: DAP akan menumpukan terhadap isu peluang pekerjaan, pembangunan industri dan mengurangkan pengangguran jika calon daripada parti itu diberi mandat oleh rakyat dan berpeluang membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Pengerusi DAP Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe, berkata sepanjang beliau memegang portfolio sebagai Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, negeri ini menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan hasil usaha kerajaan negeri menarik pelaburan dan merancakkan sektor perindustrian.
“Jika kita masuk kerajaan nanti, inilah agenda yang akan kita teruskan. Keutamaan kita adalah membawa masuk lebih banyak pelaburan, mewujudkan peluang kerja, memajukan industri dan seterusnya mengurangkan pengangguran.
“Kita mahu anak-anak muda kembali ke negeri ini dan Sandakan,” katanya dalam sidang media di Bilik Operasi DUN Tanjung Papat, Kampung Sim-Sim, hari ini.
Jin Zhe berkata, laporan Survei Tenaga Buruh Sabah bagi suku ketiga tahun ini menunjukkan kadar pengangguran di Sabah berada pada paras 5.7 peratus iaitu paling rendah sejak pandemik COVID-19.
Katanya, jika dibandingkan dengan tempoh sebelum COVID-19, suku ketiga pada tahun 2019 mencatatkan kadar pengangguran 6.7 peratus iaitu ketika era pentadbiran kerajaan WARISAN.
“Sewaktu saya mula memegang tanggungjawab sebagai menteri, kadar pengangguran ketika itu 8.1 peratus.
“Hari ini, sebelum dewan dibubarkan, kadar itu telah berjaya diturunkan kepada 5.7 peratus. Ini buat pertama kali sejak COVID-19 kita capai angka ini,” katanya.
Jin Zhe berkata, jumlah penganggur di Sabah juga menurun dengan ketara iaitu daripada 136,000 orang pada suku ketiga 2019 kepada hanya 110,000 orang pada suku ketiga tahun ini.
“Ini bukan sekadar penurunan peratusan, tetapi penurunan bilangan sebenar rakyat yang menganggur dan ini adalah angka terendah sejak 2019,” katanya.
Untuk meneruskan pertumbuhan yang memberangsangkan itu, Jin Zhe berkata, usaha membangunkan industri memerlukan kerja berpasukan yang mana DAP menempatkan calon muda iaitu Tang Szu Ching di DUN Tanjung Papat dan Vivian Wong Shir Yee di DUN Elopura.
“Saya perlukan Szu Ching untuk bantu mencari lokasi baharu bagi taman perindustrian. Saya perlukan Vivian untuk menggalas tanggungjawab membawa masuk pelaburan dan memastikan peluang pekerjaan sesuai untuk anak-anak muda yang mahu pulang bekerja di Sandakan,” katanya.
Beliau yakin bahawa dengan mandat yang lebih kuat, DAP bersama calon mampu menurunkan kadar pengangguran Sabah kepada empat peratus.



