PRN SABAH
HomeUtamaPegawai, anggota PDRM bebas pilih calon pada PRU DU Sabah – KPN

Pegawai, anggota PDRM bebas pilih calon pada PRU DU Sabah – KPN

Read Time:1 Minute, 58 Second

Oleh Ahmad Husnayan

TAWAU: Pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) diberi kebebasan penuh untuk memilih mana-mana calon atau parti politik pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan (PRU DU) Sabah Ke-17 tanpa sebarang arahan atau tekanan daripada pucuk pimpinan pasukan keselamatan itu.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Haji Ismail menegaskan, penekanan beliau terhadap aspek kestabilan politik dan ekonomi sebelum ini tidak boleh disalah tafsir sebagai arahan untuk menyokong mana-mana pihak tertentu.

“Tidak. Kita percaya bahawa kestabilan itu penting, namun pilihan tetap di tangan pegawai dan anggota.

“Saya yakin mereka bijak menggunakan hak masing-masing. Ia bukan arahan daripada saya atau mana-mana pihak,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perjumpaan Khas bersama warga PDRM sempena persiapan PRU DU Sabah Ke-17 di sini, hari ini.

Majlis berkenaan menghimpunkan kira-kira 600 pegawai dan anggota daripada pelbagai batalion yang bertugas di daerah ini.

Mengulas lanjut, Mohd Khalid berkata, kebebasan memilih adalah hak asasi setiap anggota polis termasuk mereka yang bertugas ketika tempoh pilihan raya berlangsung.

“Ya, kebebasan itu adalah hak masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyatakan persiapan serta penugasan PDRM menghadapi PRU DUN Sabah berada pada tahap sangat memuaskan, termasuk ketika proses penamaan calon baru-baru ini.

“Alhamdulillah, keadaan sepanjang proses penamaan calon di 25 pusat penamaan berjalan lancar tanpa insiden tidak dijangka,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pengarah Cawangan Khas dan Ketua Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun atas komitmen memastikan keseluruhan operasi keselamatan pilihan raya berada dalam keadaan terkawal.

Seramai 9,200 pegawai dan anggota PDRM digerakkan di seluruh Sabah, termasuk bantuan kontinjen dari Semenanjung.

Mengenai aspek keselamatan, Mohd Khalid berkata, pihaknya mengenal pasti 15 kawasan hotspot berdasarkan rekod pilihan raya lepas, namun setakat ini keadaan adalah stabil.

“Tiada isu besar di Sabah Timur termasuk Tawau. Semua penugasan CID, Narkotik dan Cawangan Khas berjalan baik, dan individu yang berpotensi menimbulkan masalah turut dikenal pasti,” katanya.

Beliau turut menafikan kewujudan maklumat berhubung dakwaan pengundi hantu atau kemasukan warga asing dari luar.

“Setakat ini tiada maklumat mengenai pengundi hantu dan tiada laporan polis diterima. Saya percaya SPR melaksanakan sistem yang kukuh bagi menguruskan pilihan raya di Sabah,” katanya.

Mohd Khalid turut menyatakan keyakinan bahawa PRU DUN Sabah Ke-17 akan berlangsung dalam suasana aman dan teratur sekiranya semua pihak memainkan peranan masing-masing.

“Rakyat Sabah menantikan pilihan raya ini. Insya-Allah, semuanya akan berjalan dengan baik,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Projek tebatan banjir Tenom diteruskan – Jamawi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular