Oleh Raul G
KIULU: Kiulu, bukan lagi sekadar dikenali destinasi aktiviti sukan pelancongan kayak dan rafting di peringkat antarabangsa, namun turut dilihat berpotensi ke arah sektor pelancongan luar bandar yang tinggi apabila pelaksanaan projek pembangunan pesat seperti pertanian dan infrastruktur giat dijalankan.
Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu merangkap calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Joniston Bangkuai berkata, usaha membangunkan sektor berkenaan menjadi antara pemacu ekonomi utama Kiulu, terutama selepas dua Pusat Informasi Pelancongan diwujudkan di Kiulu dan Pekan Nabalu.
Beliau berkata, perkembangan terbabit merupakan hasil peningkatan pengusaha pelancongan berasaskan komuniti daripada hanya tiga atau empat ketika mula berkhidmat, kepada kira-kira 80 pengusaha ketika ini.
“Ini membuktikan Kiulu memiliki potensi besar dalam pelancongan komuniti, dan kita mahu memastikan sektor ini terus menjadi sumber pendapatan mampan kepada penduduk setempat”.
“Malah, sektor pertanian turut diberi perhatian khusus apabila tahun ini sahaja, sebanyak RM1.5 juta diperuntukkan untuk membina dan menaik taraf 47 laluan jalan pertanian, sekali gus memberi manfaat kepada lebih 1,000 keluarga di kawasan seluas hampir 6,000 hektar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Sesi Walkabout di Tamu Pekan Kiulu di sini, hari ini.
Menurutnya, kemudahan jalan pertanian itu dijangka mewujudkan peluang ekonomi baharu selain memperkukuh pendapatan masyarakat luar bandar.
“Kita perlu bergerak seimbang. Perjuangan hak negeri seperti Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) memang penting, tetapi keperluan rakyat di lapangan juga tidak boleh diabaikan,” katanya.
Joniston turut menyifatkan Kiulu sedang melalui fasa pembangunan signifikan apabila Kiulu yang kini diwartakan daerah kecil, mewujudkan sekretariat yang menempatkan pelbagai agensi dan jabatan kerajaan untuk memudahkan urusan penduduk.
Selari dengan usaha memperkasa potensi pelancongan dan ekonomi setempat, Kiulu kini melangkah ke peringkat antarabangsa melalui kerjasama dengan National Taiwan University, khususnya dalam pembangunan tanaman nanas sebagai produk agropelancongan dan industri kampung.
Melalui usaha itu, seramai 15 pekebun nanas akan dihantar ke Taiwan bagi mengikuti latihan intensif dan seterusnya berperanan sebagai mentor kepada pekebun lain di Kiulu.
“Kawasan Kiulu juga sedang melalui proses penilaian akhir untuk disenaraikan dalam rangkaian pelancongan antarabangsa yang merangkumi lebih 300 lokasi di seluruh dunia. Jika diterima, Kiulu akan menjadi lokasi pertama di Malaysia menerima pengiktirafan berprestij ini,” jelasnya.
Pada masa sama, penglibatan belia terus diperkasakan melalui penubuhan Kelab Belia Prihatin Kiulu dan Kelab Pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT), yang berfungsi sebagai platform kerja sukarela, pembangunan kepimpinan serta pelaksanaan program Youth in Tourism.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17, Joniston yang juga Ketua Penerangan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) dan GRS, akan ditentang oleh tujuh pencabar termasuk calon yang dijangka memberi saingan tinggi, Joisin Romut (UPKO).
Selain itu, Ketua Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Bahagian Kiulu, Terence Sinti yang disusuli Niyky @ Niky J. Bosikol (Parti Impian Sabah), Saibin Gunsari (Warisan) dan calon dari Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) yang mempertaruhkan bekas pemain bola sepak, Henry Saimpon.
Dua lagi calon adalah Trevor Kenneth Maringking (Parti Anak Negeri), dan Dusi Gingging daripada Parti Kebangsaan Sabah (PKS).
Pada PRN16 lalu, Joniston menang dengan majoriti 1,221 undi menewaskan lima lagi pencabarnya.



