Oleh Erdie Ab Wahid
SEPANGGAR : Seramai 300 ahli Parti Warisan termasuk Ahli Jawatankuasa Bahagian Warisan Sepanggar, Sabar Dasad, mengumumkan penyertaan mereka ke dalam Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Darau malam tadi.
Penyerahan borang kemasukan keahlian diterima sendiri Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Darau Datuk Mohamed Razali Razi yang juga calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Darau.
Razali berkata, keputusan itu disifatkan sebagai satu bentuk keyakinan baharu terhadap hala tuju perjuangan Gagasan Rakyat khususnya di kawasan Darau.

“Alhamdulillah, program malam ini menyaksikan saudara Sabar, mantan AJK Warisan Sepanggar, membuat keputusan bersama 300 ahli Warisan untuk menyertai perjuangan Gagasan Rakyat dan juga Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Ini keputusan yang besar dan ikhlas,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menerima penyertaan kumpulan itu di Kampung Kalansanan Laut di sini pada Selasa.
Razali berkata, keputusan kumpulan itu bukan sesuatu yang mudah memandangkan Sabar telah bersama Warisan selama sembilan tahun, namun kesedaran untuk melakukan perubahan menjadi faktor utama.
“Anda dapat lihat daripada bahasa badan dan ekspresi muka, keikhlasan itu jelas. Bukan senang tinggalkan parti yang diikuti begitu lama, namun beliau hilang keyakinan terhadap kepimpinan Warisan Sepanggar,” katanya.
Beliau turut memberi bayangan bahawa akan ada lagi penyertaan ahli Warisan dalam masa terdekat, namun enggan mendedahkan butiran lanjut demi menjaga strategi politik parti.
Mengulas lanjut faktor kemasukan besar-besaran malam tadi, beliau berkata antara sebab utamanya adalah kekecewaan rakyat terhadap kelemahan perkhidmatan wakil rakyat pembangkang di kawasan itu sejak lima tahun lalu.
“Rakyat mahu perubahan. Mereka lihat apa yang GRS telah lakukan, bukan sekadar bercakap. Kami ini bekerja, mereka hanya berkata-kata. Itu perbezaan kami,” katanya.
Hadir sama Naib Ketua Pemuda Gagasan Rakyat Balung, Ismail Sabran, yang juga bekas timbalan ketua Pemuda Warisan Sabah; dan Timbalan Presiden Parti Liberal Demokratik Sabah, Yong Vui Chung.
Pada Pilihan Raya Negeri (DUN) Darau ke-16, kawasan itu dimenangi calon Warisan, Azhar Matussin, dengan majoriti 562 undi. – SABAH MEDIA



