Oleh Sitti Nor Azizah Talata
TAWAU: Tuduhan Datuk Seri Bung Moktar Radin bahawa Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai “kerajaan paling gagal di dunia” disifatkan sebagai satu sindiran yang kembali memakan dirinya, apabila rekod pentadbiran beliau sendiri menunjukkan kegagalan paling ketara dalam tempoh dua tahun awal kerajaan negeri.
Menurut Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali, takdir menentukan seorang menteri gagal keluar daripada kerajaan dan sejak itu barulah projek-projek kritikal yang sekian lama tertangguh mula bergerak dan dilaksanakan secara teratur.
Armizan berkata, kerajaan GRS kehilangan dua tahun pertama pentadbiran (2021–2022) kerana terpaksa menanggung kegagalan Bung Moktar sebagai Menteri Kerja Raya (KKR) Sabah.

“Ketika rakyat menunggu pembaharuan, KKR di bawah Bung tidak menggerakkan satu pun projek utama penstabilan air. Dua tahun itu hilang begitu sahaja,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan pelancaran jentera GRS Tanjung Batu di sini, malam ini.
Hadir sama calon GRS Tanjung Batu, Dr. Andi Md. Shamsureezal Mohd Sainal dan beberapa pemimpin dan veteran politik di negeri ini termasuk bekas ADUN Sebatik. Datuk Muis Picho.
Program tersebut turut dihadiri lebih 1,000 penyokong serta jentera GRS di kawasan itersebut.
Dalam pada itu, Armizan berkata, antara kegagalan besar yang ditinggalkan Bung Moktar ialah Projek Loji Rawatan Air (LRA) Cinta Mata 2, Tawau yang hanya dimulakan 22 Julai 2025, selepas Bung tidak lagi berada dalam KKR.
“Projek dijangka siap 22 Julai 2028. Selain itu, projek naik taraf LRA Kogopon, Papar walaupun sudah dirancang lebih awal, ia hanya dapat dimulakan pada Ogos 2023 selepas Datuk Shahelmey Yahya menjadi Menteri KKR baharu.
“Kerajaan GRS turut merancang LRA Balung II, dijadual bermula 2026, untuk menambah kapasiti air di pantai timur.
“Semua projek ini sedia ada dalam perancangan. Tetapi sebagai menteri, Bung tidak menggerakkan apa-apa. Namun beliau pula menyalahkan orang lain,” ujar Armizan.
Dalam isu elektrik, Armizan menegaskan bahawa kuasa kawal selia tenaga hanya dipindahkan kepada Kerajaan Sabah pada 3 Januari 2024, setelah 41 tahun dipegang Kerajaan Persekutuan.
Menurutnya, SESB pula masih dimiliki majoriti oleh TNB, menjadikan dakwaan kegagalan kerajaan GRS sebagai tidak berasas.
“Semasa menjadi Menteri KKR, walaupun elektrik bukan bidang tugas beliau, Bung tetap mahu tunjuk kuasa. Dua Ketua UMNO Bahagian dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah SESB melalui cadangan beliau sendiri,” jelasnya.
“Jadi apa hasilnya? Apa sumbangan mereka? Hakikatnya, mereka gagal.” tegas beliau lagi.
Tambah beliau, selepas kuasa kawal selia diberi kepada Sabah dan tanpa campur tangan UMNO, pelbagai projek penstabilan bekalan elektrik mula berjalan, termasuk Projek Grid Pantai Timur Southern Link Fasa 1 pada 2024.
Armizan menegaskan bahawa apa yang berlaku merupakan pengajaran politik yang jelas.
“Takdir menentukan Bung sebagai menteri gagal keluar dari kerajaan. Dan sejak itulah banyak projek air dan elektrik yang tertangguh akhirnya dapat dilaksanakan. Sabah tidak lagi tersekat oleh kegagalan kepimpinan beliau,” katanya.
Beliau menambah bahawa rakyat berhak mengetahui fakta sebenar setiap kali tuduhan dilemparkan oleh pihak yang suatu ketika dahulu memikul tanggungjawab tetapi gagal melaksanakannya. – SABAH MEDIA



