Oleh Rhea Dharmin
BEAUFORT: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klias, Datuk Isnin Aliasneh yakin pengundi di kawasan terbabit mampu menilai sebelum memilih pemimpin seterusnya dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan (PRU DU) Sabah ke-17.
Katanya, penduduk khususnya di Klias pada masa kini lebih bijak menilai pemimpin yang turun lapangan dan berkhidmat untuk rakyat.
“Mereka (rakyat) tahu. Mereka tahu siapa pemimpin yang bekerja .. siapa meredah hujan, banjir selama lima tahun ini. Mereka tahu siapa yang bantu mereka dalam pendidikan.
“Saya juga yakin pengundi muda tetap bersama dengan GRS,” katanya.
Kempen Rumah Kita, Kita Jaga GRS DUN Klias dan DUN Lumadan bertempat di Dewan Bagandang, di sini, hari ini.
Majlis terbabit disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor.
Dalam pada itu, Isnin turut berkata beliau turut tekad untuk membawa lebih banyak pembangunan setelah berjaya membawa Klias keluar dari kategori miskin tegar.
“Saya mahu janjikan pembangunan yang lebih bagus. Selama lima tahun saya janjikan supaya Klias ini (keluar) daripada miskin tegar.
“Alhamdulillah sekarang ini Klias bukan lagi (dalam kategori) miskin tegar. Saya janjikan peningkatan ekonomi kepada orang-orang Klias supaya mereka mempunya pendapatan cukup baik terutamanya dalam bidang pertanian,” katanya.
Klias bakal menyaksikan persaingan sebanyak tujuh penjuru dalam PRN17 ini.



