Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU: Sebuah koperasi khusus untuk golongan belia dan wanita di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai akan ditubuhkan bagi tujuan penjanaan pendapatan dan peluang pekerjaan.
Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) DUN Karambunai Datuk Arshad Idris berkata, koperasi khusus itu merupakan antara inisiatif beliau untuk membantu golongan terbabit selepas diberi mandat pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah ke-17 (PRU DU Sabah ke-17).

“Ini kerana kehidupan harian mereka di sini sangat susah, oleh itu kita akan usahakan penubuhan satu koperasi agar mereka sama-sama mampu menikmati limpahan ekonomi perniagaan.
“Selain itu, saya mendapati isu-isu berkaitan belia di Karambunai perlu diberi perhatian. Setiap pengundi yang saya jumpa, pelbagai aduan masalah yang mereka hadapi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan Tinjauan Mesra di Universiti Apartment Plaza di sini pada Rabu.
Sementara itu, Arshad turut berkongsi antara isu yang dibangkitkan pengundi sepanjang lima hari berkempen adalah bantuan warga emas dan bantuan persekolahan untuk anak-anak.
Bagaimanapun katanya, kerajaan sebenarnya telah menyediakan kemudahan dan bantuan kepada golongan memerlukan khususnya di Sabah.

“Mungkin maklumat itu belum sampai kepada mereka, tetapi selepas pilihan raya ini kita akan turun semula dan maklumkan bahawa peruntukan untuk belia, anak sekolah dan orang tua memang sudah ada,” katanya.
Beliau berharap para pengundi Karambunai akan memberikan peluang kepada GRS untuk membentuk semula kerajaan bagi kesinambungan rancangan serta matlamat jangka panjang untuk rakyat. – SABAH MEDIA



