Oleh Rhea Dharmin
BEAUFORT: Enam teras yang dirangka dalam manifesto calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan, Datuk Ruslan Muharam bakal menjadi garis panduan untuk beliau sekiranya diberi mandat oleh rakyat menjelang Pilihan Raya Umum Dewan Undangan (PRU DU) Sabah ke-17 ini.
Katanya, manifesto terbabit menggariskan visi serta misi yang berteraskan aspek pembangunan ekonomi, pendidikan dan modal insan, agama dan budaya, instrastruktur dan kemudahan asas, sosial, belia dan wanita dan anggaran bajet bagi tahun 2026 sehingga 2030.
“Berdasarkan misi dan visi ini, kita mempunyai satu garis panduan yang perlu kita tuju setelah kita diberi mandat oleh rakyat.
“Insya-Allah dalam PRN ini, (setelah) kita mendapat mandat rakyat, inilah sebagai panduan kita untuk bekerja dalam mentadbir khususnya di Lumadan ini dan negeri Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Pelancaran Manifesto Calon GRS NO 4 DUN N34 Lumadan bertempat di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Beaufort Selatan, Bandar Mingo, di sini, semalam.
Dalam pada itu, Ruslan menyatakan keyakinannya bahawa rakyat disini meletakkan kepercayaan terhadap beliau berdasarkan hasil kerjanya sepanjang menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan sebelum ini.
“Pada tahun 2020 sehingga 2025, kita yakin rakyat bukan sahaja melihat malah menikmati dan merisaukan apa gerak kerja yang kita lakukan dalam tempoh lima tahun ini.
“Bila kita melihat keadaan Lumadan itu sendiri hari ini, memang sangat jauh dan maju di hadapan. Kita telah pun menyelesaikan isu-isu besar seperti bekalan air bersih dan banjir kilat.
“Selain itu, kita telah pun mendalamkan laluan sungai para nelayan kita. KIta juga dapat membangunkan semula bangunan baru klinik-klinik kesihatan dan membina 12 dewan terbuka untuk anak-anak muda kita.
“Banyak lagi kalau kita mahu sebut. Jadi inilah memberi keyakinan kita bahawa rakyat telah menilai dan melihat hasil daripada gerak kerja kita itu,” katanya.



