PRN SABAH
HomePRNN.24 TANJUNG KERAMATShah Alfie mohon mandat rakyat, tekad teruskan legasi pembangunan DUN Tanjung Keramat

Shah Alfie mohon mandat rakyat, tekad teruskan legasi pembangunan DUN Tanjung Keramat

Read Time:1 Minute, 36 Second

Oleh J Evachel John

PUTATAN: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi DUN Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya, yakin berpeluang menawan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Sabah ke-17, meskipun berdepan saingan 11 penjuru.

Shah Alfie, yang juga adik kepada Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir. Shahelmey Yahya, berkata minggu pertama kempen memperlihatkan momentum sokongan yang semakin kukuh, dengan pengundi menunjukkan kepercayaan jelas terhadap kepimpinan dan aspirasi yang dibawanya.

Pendekatan kempen yang menekankan hubungan rapat dengan pengundi melalui ziarah komuniti, walkabout, dan kunjungan rumah ke rumah, membuahkan maklum balas yang amat positif daripada masyarakat setempat.

“Alhamdulillah, maklum balas daripada pengundi sangat positif. Kehadiran semakin meningkat dan semangat pengundi juga makin tinggi. Di mana-mana kami pergi, majoritinya menyatakan sokongan kepada GRS.

“Saya akan terus bekerja keras untuk mendekati setiap pengundi di Tanjung Keramat,” katanya ketika ditemui dalam program Sepetang Bersama Calon di Pasir Putih, Putatan.

Beliau menekankan bahawa kempen ini berteraskan tiga aspirasi utama iaitu meningkatkan kualiti hidup masyarakat setempat, mempergiatkan ekonomi belia dan masyarakat, serta membangunkan sumber manusia berteraskan ilmu pengetahuan.

Menurutnya, segala kemajuan dan perkembangan positif yang telah dibawa oleh abangnya, Datuk Shahelmey sebagai Ahli Parlimen Putatan dan juga penyandang kerusi DUN Tanjung Keramat, akan diteruskan demi manfaat rakyat.

“Apa yang Datuk Shahelmey sudah lakukan….Apa yang baik, saya akan teruskan. Apa yang kurang, kita akan buat penambahbaikan dan selanjutnya,” jelasnya.

Shah Alfie turut menyeru pengundi agar memberi mandat kepadanya bagi membolehkan aspirasi tersebut direalisasikan untuk manfaat rakyat DUN Tanjung Keramat.

Beliau menegaskan bahawa sokongan pengundi amat penting bagi memastikan pembangunan dan program yang dirancang dapat diteruskan.

Pada PRU Sabah nanti Shah Alfie berdepan 10 lagi calon lain iaitu Sugarah @ Segarah Miasin (KDM), Farish Adamz @ Kanny (Perikatan Nasional), Jeffery Nor Mohamed (BN), Saifullah Phang (Bebas), Mahadthir Asbollah (Parti Impian Sabah), Mil Kusin Abdillah (Anak Negeri), Azni Mohd Salleh (STAR), Rosdy Wasli (UPKO), Mohammad Firdaus Diun @ Awang (Warisan), dan Jasni Matlani (Parti Bumi Kenyalang).

Tamat

RELATED ARTICLES
PRNUtama

Sepuluh ahli jemaah menteri baharu Sabah angkat sumpah hari ini

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular