LABUAN: Industri perikanan tuna mempunyai potensi yang besar sebagai sumber kekayaan baharu negara untuk dikembangkan di Sabah dan Labuan.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, ia selaras dengan transformasi dan pembangunan sektor perikanan yang menyeluruh di bawah Dasar Agromakanan Negara 2.0 (DAN 2.0).
“Saya menyeru kepada pelabur dan pemain industri sedia ada untuk membuka kilang dan mengusahakan vesel tuna, serta menjadikan Labuan sebagai Hab Tuna untuk pasaran ke Semenanjung dan luar negara.
“Kerjasama antara Kerajaan dan pihak swasta adalah amat penting bagi memastikan pembangunan industri tuna terus berkembang di negara ini serta dapat dimanfaatkan oleh semua pihak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi libat urus bersama pihak berkepentingan sektor perikanan laut dalam bagi Sabah dan Labuan disini hari ini.
Tujuan utama sesi libat urus itu diadakan adalah bagi mendapatkan input-input penting daripada semua pihak yang berkepentingan berkaitan tuna sebagai langkah penyediaan perancangan kearah kemajuan industri tuna tempatan.
Dr Ronald berkata, dalam hal ini, peningkatan kualiti pasca tuai dan nilai tambah bagi hasilan perikanan tuna akan terus diberi penekanan.
Katanya, manfaat yang bakal diperoleh tidak hanya terhad kepada aktiviti penangkapan ikan tuna sahaja, tetapi pelbagai perkhidmatan lain di sepanjang rantaian nilai industri tuna boleh dibangunkan seperti pelabuhan, pengangkutan, penyimpanan, pemprosesan dan lain-lain.
“Ini termasuk produk tambah nilai seperti steak tuna, canned tuna, sate, serunding, keropok kulit tuna dan sebagainya.
“Kita harus mengambil peluang sebagai negara ahli Indian Ocean Tuna Commission (IOTC) untuk menghantar lebih banyak vesel perikanan menangkap ikan tuna di Lautan Hindi dan menggalakkan lebih banyak vesel tuna mendarat di Malaysia.
“Kerajaan juga berhasrat untuk menyertai satu lagi organisasi pengurusan perikanan antarabangsa yang menguruskan sumber tuna di sebelah Lautan Pasifik iaitu Western and Central Pacific Fisheries Commission (WCPFC) selain daripada IOTC yang telah Malaysia sertai sebelum ini sejak 1998,” katanya.
Katanya, dengan penyertaan dalam WCPFC, Malaysia boleh merancakkan industri tuna, meningkatkan lagi hasil pendaratan tuna dan seterusnya membangunkan industri laut dalam dan tuna dengan meningkatkan pendaratan sektor perikanan dan jaminan sekuriti makanan negara serta menggalakkan penglibatan pengusaha industri laut dalam dan tuna di sepanjang rantaian industri tuna.
Sesi libat urus itu dihadiri oleh 60 orang yang terdiri dari nelayan, pengusaha laut dalam, pemain industri perikanan laut dalam, pengilang dan pemproses ikan beku, serta Jabatan dan Agensi di bawah MAFI.