PUTATAN: Timbalan Menteri Pelancongan Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan menegaskan tiada sebab pengundi Tanjung Keramat tidak memberikan kepercayaan kepada calon GRS, Shah Alfie Yahya.
Khairul Firdaus berkata Shah Alfie merupakan calon muda yang matang dan bersedia, hasil pengalaman kerja lapangan serta hubungan akrabnya dengan penduduk setempat.
“Ramai di Tanjung Keramat sudah mengenali Shah Alfie kerana beliau membesar di sini. Beliau juga menerima bimbingan kepimpinan daripada pelbagai pihak.
“Tidak ada sebab untuk kita tidak memberikan kepercayaan kepada Shah Alfie.
“Ini masa terbaik untuk belia memberi peluang kepada beliau, dan peluang ini akan membawa imej baharu kepada DUN Tanjung Keramat,” katanya pada program bersama anak muda di Kg. Sipanggil, semalam.

Khairul Firdaus turut memuji keberanian kepimpinan GRS, khususnya Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, kerana memberi ruang luas kepada calon muda dalam pilihan raya kali ini.
“Pujian dan ucapan terima kasih wajar diberikan kepada Ketua Menteri kita kerana berani meletakkan ramai anak muda dalam kepimpinan. Sebenarnya, kita perlu sedar bahawa tidak banyak parti dalam tampuk kuasa memberikan peluang sebegini kepada generasi muda.
“Dalam sejarah politik saya, saya melihat perubahan yang cukup besar kali ini. Meletakkan anak muda dalam parti politik yang sebelum ini bukan sebahagian daripada kerajaan adalah sesuatu yang luar biasa.
“Keputusan yang dibuat oleh GRS amat baik, terutamanya bagi sektor belia,” katanya.
Menurutnya, kelompok belia kini lebih berminat kepada calon muda, namun apa yang lebih penting adalah keupayaan calon tersebut menunjukkan kesediaan, wawasan dan kemampuan bekerja.
“Ramai yang minat kepada calon-calon muda. Tetapi kita perlu pastikan calon-calon muda yang kita tampilkan itu juga benar-benar boleh bekerja dan mempunyai wawasan untuk memajukan kawasan dan masyarakat.
“Calon muda GRS terbukti memiliki kemampuan untuk menjalankan tanggungjawab dan asas kepimpinan untuk membangunkan kawasan setempat,” tambahnya.



