Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) memperketat kawal selia pemasangan bendera dan sepanduk sempena Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah ke-17 (PRU DU Sabah ke-17) di sekitar bandar raya bagi memastikan semua parti mematuhi peraturan kempen yang ditetapkan.
Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Operasi), DBKK Robert Lipon berkata, pada awal tempoh kempen iaitu beberapa hari selepas penamaan calon, pihaknya mengesan pelbagai pelanggaran, termasuk pemasangan bahan kempen di lokasi yang dilarang seperti bulatan jalan, premis kerajaan dan bangunan agensi kerajaan.
“Pada peringkat awal, kita perhatikan sepanduk dan bendera dipasang di tempat yang tidak sepatutnya.

“Namun selepas DBKK bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) mengeluarkan kenyataan rasmi dan menghubungi ejen pilihan raya setiap parti, keadaan kini lebih terkawal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Kempen Kesedaran My City My Responsibility dan Majlis Pelancaran Jawatankuasa Pengurusan Sisa Komuniti di sini pada Sabtu.
Robert berkata, DBKK telah mengarahkan semua parti mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya, keselesaan visual bandar, serta mengelakkan risiko kerosakan harta awam.
“Untuk hari ini, keadaan sudah jauh lebih baik. Pemasangan bahan kempen berada di lokasi yang dibenarkan.
“Cuma pada dua hingga tiga hari pertama sahaja berlaku banyak pelanggaran, terutama di bulatan jalan dan penanda lorong,” tambahnya.
Sementara itu, Robert berkata, pihaknya turut mengingatkan semua parti bahawa mereka wajib menurunkan semua bahan kempen sebaik sahaja tempoh pengundian tamat.
“Sebaik sahaja tamat tempoh pengundian pada 29 haribulan, khususnya selepas jam 12 malam, semua bendera dan sepanduk perlu dibersihkan sepenuhnya pada keesokan harinya.
“Jika gagal berbuat demikian, deposit iklan yang dibayar kepada DBKK akan dilucutkan,” jelasnya.
Justeru pihaknya berharap tahap pematuhan yang baik ketika ini dapat dikekalkan sepanjang kempen berlangsung, sekaligus memastikan bandar raya Kota Kinabalu kekal teratur dan bersih sepanjang musim pilihan raya. – SABAH MEDIA



