PRN SABAH
HomePRNN.30 BONGAWANWarisan hanya muncul dengan 'senarai kerja' setiap kali pilihan raya - Ramlah

Warisan hanya muncul dengan ‘senarai kerja’ setiap kali pilihan raya – Ramlah

Read Time:2 Minute, 17 Second

BONGAWAN: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Bongawan menolak dakwaan Warisan bahawa banyak pembangunan telah dibawa oleh penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan, Dr Daud Yusof, sepanjang lima tahun lalu, dengan menegaskan bahawa realiti di lapangan tidak menggambarkan apa yang didakwa.

Ketua Wanita GRS Bongawan, Ramlah Sidek, berkata fenomena sama berulang setiap kali pilihan raya mendekat apabila Warisan tiba-tiba mengemukakan senarai panjang “projek dan usaha besar” yang menurut penduduk setempat, tidak pernah benar-benar dirasai.

“Warisan keliru antara buat kerja dan buat kenyataan. Setiap kali pilihan raya hampir, barulah senarai panjang ‘usaha’ itu muncul.

“Tetapi bila kita turun kampung, rakyat sendiri berkata mereka tidak nampak pembangunan seperti yang didakwa,” katanya.

Menurutnya, sekiranya benar Bongawan menikmati pembangunan pesat, kawasan itu tidak sepatutnya kekal dengan masalah asas yang berlarutan sejak 2018, termasuk jalan rosak, peluang pekerjaan yang terhad serta projek ekonomi yang tidak menjadi kenyataan.

Beliau turut mengulas tumpuan Warisan terhadap bantuan berskala kecil seperti sumbangan RM2,000–RM3,000 kepada sekolah, baik pulih rumah dan penyediaan elektrik kampung.

“Bantuan kecil itu kita hargai, tetapi itu tanggungjawab minimum seorang wakil rakyat. Rakyat mahu lebih daripada itu. Mereka mahu pelan pembangunan ekonomi, peluang kerja, dan strategi membangunkan belia—bukan sekadar bantuan tahunan,” tegasnya.

Mengulas dakwaan Warisan bahawa Sabah Oil & Gas Terminal (SOGT) kini ‘muram’, Ramlah berkata kenyataan itu sebenarnya mendedahkan kegagalan Warisan sendiri ketika menjadi kerajaan negeri.

“SOGT ini inisiatif yang dimulakan oleh Tan Sri Anifah Aman. Bila Warisan jadi kerajaan, mereka sepatutnya memperkukuh projek ini. Jika hari ini mereka kata SOGT muram, itu bermakna merekalah yang gagal menghidupkan projek yang asasnya sudah tersedia,” katanya.

Ramlah berkata perbandingan antara calon pembangkang dan calon GRS kini semakin jelas, khususnya dengan kehadiran Tan Sri Anifah Aman sebagai calon GRS Bongawan.

“Satu pihak sibuk menunjukkan resit bantuan setiap tahun. Satu lagi pihak membawa rangkaian nasional, pengalaman menteri dan hala tuju ekonomi jangka panjang. Rakyat sendiri nampak perbezaannya,” katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa pengundi muda dan pengundi kali pertama semakin memahami bahawa Bongawan memerlukan pemimpin bertaraf nasional yang mampu membuka pintu pelaburan, mencipta pekerjaan bernilai tinggi dan menghidupkan semula projek besar yang terbiar.

“Maklum balas sangat jelas. Orang Bongawan berkata sudah cukup lima tahun eksperimen. Mereka mahu pemimpin yang benar-benar tahu bekerja, bukan sekadar mengumumkan bantuan menjelang pilihan raya,” ujarnya.

Ramlah menegaskan bahawa GRS menawarkan kepimpinan yang lebih stabil, konsisten dan berkeupayaan melaksanakan perubahan berskala besar, dipacu melalui pengalaman luas Anifah di peringkat negeri dan Persekutuan.

“Memimpin Bongawan bukan tentang bantuan tahunan. Ia tentang visi, pengalaman, hubungan strategik dan kemampuan membuka peluang. Itu yang rakyat mahukan, dan itu yang Tan Sri Anifah mampu bawa masuk,” katanya.

GRS yakin bahawa tawaran pembangunan menyeluruh, pengukuhan SOGT serta strategi ekonomi jangka panjang akan menjadi faktor utama peningkatan sokongan rakyat Bongawan pada PRN Sabah kali ini.

RELATED ARTICLES
Utama

Sahabat lama yang banyak berjasa – Hajiji

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular