PRN SABAH
HomePRNN.05 MATUNGGONGSambutan luar biasa, Hajiji yakin GRS pertahan Matunggong

Sambutan luar biasa, Hajiji yakin GRS pertahan Matunggong

Read Time:1 Minute, 47 Second

MATUNGGONG : Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yakin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mampu mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Matunggong pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah ke-17 (PRU Sabah).

Beliau berkata, keyakinan itu adalah berdasarkan sambutan luar biasa pengundi di kawasan itu yang dilihat memberi isyarat positif menjelang hari pengundian.

“Ya, saya amat yakin. Dengan sambutan dan semangat yang ditunjukkan penyokong-penyokong GRS.

“Saya yakin Matunggong akan dimenangi calon GRS,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri kempen Rumah Kita, Kita Jaga GRS DUN Matunggong di Dewan Terbuka Pekan Matunggong di sini pada Selasa.

Hadir sama calon GRS Matunggong Datuk Julita Majungki.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS turut mengulangi komitmen bahawa usaha menjadikan Matunggong sebagai sebuah daerah penuh akan dipertimbangkan sekiranya GRS diberi mandat.

“Insya-Allah, kalau semua syarat dan keperluan dipenuhi, tidak ada masalah untuk kita pertimbangkan,” katanya.

Sementara itu, Julita turut optimis melihat perkembangan kempen yang semakin rancak sejak beberapa hari lalu.

“Proses kempen memang baik, tetapi selepas melalui 25 BDM, kita boleh katakan harapan kita cukup tinggi untuk memenangi kawasan ini,” katanya.

Beliau turut mengesahkan bahawa usaha menaik taraf Matunggong kepada sebuah daerah penuh bukanlah perkara baharu, malah sudah lama diperjuangkan.

Menurutnya, kajian lengkap bagi menaik taraf daerah kecil Matunggong telah disiapkan sejak 2021.

“Kita sudah beberapa kali susuli. Saya berharap dalam penggal akan datang, Matunggong boleh dinaik taraf menjadi daerah penuh demi kebaikan masyarakat,” jelasnya.

Julita berkata Matunggong memenuhi kriteria penting, termasuk jumlah penduduk, potensi pembangunan dan sumber ekonomi setempat.

“Memang di sini tidak nampak pekan besar, tetapi kita sudah kenal pasti lokasi di Sikuati yang hanya memerlukan penambahbaikan kemudahan,” katanya.

Menurutnya lagi, tanah pekan yang luas di Matunggong berpotensi menjadi pusat pentadbiran jika kelulusan diperoleh.

Dalam pada itu, Julita turut menjelaskan bahawa hubungan baik dengan golongan muda memberi keyakinan bahawa mereka akan menyokong GRS.

“Kami sering bertemu pelajar tingkatan 5 dan 6 melalui program insentif akademik sejak empat tahun lalu.

“Mereka lebih kenal kami, lebih tahu usaha kami untuk meningkatkan pencapaian akademik di Matunggong,” katanya.

Beliau berharap generasi muda yang kini layak mengundi akan bersama GRS dalam usaha membangunkan modal insan serta merubah landskap pendidikan Matunggong. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Projek tebatan banjir Tenom diteruskan – Jamawi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular