SANDAKAN: Penduduk, khususnya para pengundi di Sungai Manila, diseru agar memilih pemimpin yang benar-benar berjiwa rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Mantan Ahli Dewan Undangan Negeri Dilantik, Datuk Jaffari Waliam, berkata isu mengenai keperluan memilih anak jati tidak lagi relevan sebagai penentu utama pilihan pengundi.
“Selama ini pun, pembangunan di Sungai Manila banyak digerakkan oleh individu luar yang mempunyai jiwa rakyat,” katanya ketika berkempen di Rancangan Sungai Manila, semalam.
Menurut beliau, ramai pihak dari luar kawasan telah membantu memajukan Sungai Manila, termasuk menyediakan kemudahan, sokongan pembangunan dan program untuk masyarakat setempat.
Jaffari berkata calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi DUN Sungai Manila, Hazem Mubarak Musa, merupakan antara individu yang konsisten menunjukkan komitmen serta usaha membawa kemajuan ke kawasan itu.
“Pemimpin seperti ini adalah pemimpin berjiwa rakyat dan inilah calon yang patut diangkat serta diberi kepercayaan. Kita boleh melihat sendiri usaha yang dilakukan Hazem… jadi isu anak jati bukan lagi satu isu,” katanya.
Beliau menambah, rakyat juga dapat menilai sendiri perkembangan pembangunan yang telah berjaya dilaksanakan di Sungai Manila sepanjang tempoh lalu.
Dalam pada itu, seramai 149 ahli UMNO dari dua cawangan di Rancangan Sungai Manila telah menyertai Gagasan Rakyat. Penyertaan itu diterima oleh Jaffari selepas sesi kempen di Kampung Rancangan Peringkat 3 sebagai tanda sokongan kepada calon GRS.



