Oleh Silar Pinikit
NABAWAN: Sokongan politik di DUN N.46 Nabawan terus memihak kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) apabila para penyokong Pakatan Harapan (PH)–PKR menyatakan komitmen penuh untuk mendukung calon GRS, Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin.
Seorang penyokong PH–PKR, Mayassin Andawa, berkata beliau bersama ahli parti sepakat menyokong calon GRS berikutan kerjasama baik antara GRS dan PH yang membolehkan Kerajaan Negeri sebelum ini dikekalkan selepas Langkah Kinabalu pada 2023.
Beliau menyampaikan perkara itu ketika berucap pada majlis pertemuan bersama Abdul Ghani di Kampung Kalayunan, salah satu lokaliti dalam Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pandiwan, pada Isnin.
Menurut Mayassin, kerjasama strategik GRS–PH bukan sahaja mengukuhkan kestabilan politik negeri bahkan mengukuhkan keyakinan penyokong terhadap calon GRS yang kini berdepan saingan lapan calon lain.

Sementara itu, Abdul Ghani yang mempertahankan kerusi DUN N.46 Nabawan menyatakan keyakinannya bahawa gabungan GRS–PH akan kembali diberi mandat pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah ke-17 pada 29 November ini.
Katanya, keyakinan itu berpaksikan momentum sokongan rakyat yang dilihat semakin meningkat sejak tempoh berkempen bermula.
Dalam ucapannya, Abdul Ghani turut mempersoalkan kehadiran beberapa pemimpin BN – UMNO dari Semenanjung yang dilihat aktif bergerak di Nabawan untuk membantu calon parti itu, sedangkan rekod menunjukkan BN – UMNO sudah ditolak di beberapa negeri Semenanjung.
“Sebagai contoh, pemimpin UMNO dari Perlis dilaporkan datang membantu kempen BN di Nabawan, sedangkan parti itu sendiri gagal membentuk kerajaan di negeri tersebut,” katanya.



