Oleh Raul G
TUARAN: Pentadbiran Kerajaan Sabah dibawah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) sepanjang lima tahun lalu berjaya membuktikan kemampuan kerajaan memacu pertumbuhan ekonomi, menarik lebih banyak pelaburan dan memperkukuh tadbir urus melalui pelaksanaan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Justeru Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menggesa rakyat di negeri ini untuk meneruskan pentadbiran kerajaan sedia ada bagi memastikan kesinambungan pembangunan serta kestabilan politik dan ekonomi negeri.
Katanya, kejayaan yang dicapai sehingga kini menunjukkan dasar dan perancangan kerajaan berada pada landasan yang tepat, selain memberi manfaat langsung kepada rakyat melalui pelbagai inisiatif pembangunan yang lebih tersusun dan inklusif.
“Kita berjaya mengangkat ekonomi negeri Sabah dan membangunkan negeri ini melalui kerangka SMJ yang memberi tumpuan kepada tiga sektor utama pembangunan ekonomi, di samping memodenkan sistem pendidikan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat, khususnya golongan termiskin.
“Fokus kita jelas dalam memacu sektor ekonomi utama, meningkatkan modalisasi pendidikan dan menjaga kebajikan rakyat.
“Saya harap rakyat Sabah, terutama di Tuaran, tidak tersalah memilih kerajaan. Pilihlah kerajaan yang terbukti membawa kemajuan, kestabilan dan pembangunan berterusan untuk rakyat negeri Sabah,” katanya.
Hajiji berkata demikian ketika berucap pada program Temu Rapat Dengan Pimpinan Masyarakat Tempatan dan Sahabat Usahawan Tuaran, di perkarangan Dewan Kebudayaan Bajau Samah di sini, hari ini.
Program itu turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Besar Selangor merangkap Pengerusi PKR Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; calon GRS DUN Tamparulli, Dr Bonaventure Boniface serta calon GRS Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya.
Menurut Hajiji yang juga calon DUN Sulaman bagi Pilihan Raya Negeri (PRN17) Sabah ke-17, pelbagai hasil yang diperolehi rakyat dan negeri ini dengan adanya hubungan baik Sabah dan Persekutuan, khususnya di bawah Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar lbrahim.
Hajiji turut memaklumkan bahawa kerjasama erat Sabah dan Persekutuan membolehkan banyak bantuan langsung disalurkan kepada rakyat termasuk subsidi diesel yang masih dikekalkan, harga petrol RON95 pada RM1.99 seliter dan bantuan tunai RM300 sebulan yang dinikmati rakyat.
Ia termasuk beberapa projek besar berkaitan bekalan air kini sedang dilaksanakan serentak termasuk projek bernilai RM1.2 bilion, naik taraf Loji Air Kogopon, Papar bernilai RM380 juta serta Loji Rawatan Air Cinta Mata di Tawau yang telah mencapai lebih 65 peratus kemajuan.
Beliau turut berterima kasih kepada Perdana Menteri yang disifatkannya seorang yang prihatin kepada Sabah selain memberi kata-kata semangat menjelang hari mengundi PRU Sabah Ke-17 yang berbaki dua hari lagi. – SABAH MEDIA



