HomePendapatDari Kemiskinan Tegar ke Kesejahteraan: Wajah Baharu Kehidupan Rakyat Sabah

Dari Kemiskinan Tegar ke Kesejahteraan: Wajah Baharu Kehidupan Rakyat Sabah

Read Time:3 Minute, 51 Second

Oleh Wan Azrain Adnan

Kesejahteraan rakyat Sabah kini sedang melalui satu perubahan yang ketara. Dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, rakyat semakin menikmati pendapatan yang lebih baik, peluang pendidikan dan latihan yang lebih meluas, pekerjaan yang semakin stabil serta perumahan yang lebih selesa. Pada masa yang sama, tahap keselamatan dan ketenteraman awam yang kukuh membolehkan kehidupan sosial serta aktiviti ekonomi berkembang dalam suasana yang aman dan terkawal.

Antara kejayaan paling besar dan bersejarah ialah kejayaan Kerajaan Sabah menarik rakyat keluar daripada belenggu miskin tegar. Pengumuman di Dewan Rakyat pada awal November 2025 bahawa Sabah telah mencapai sifar miskin tegar bukan sekadar pencapaian pentadbiran, tetapi merupakan satu simbol perubahan nasib puluhan ribu keluarga. Penurunan drastik Ketua Isi Rumah miskin tegar daripada 13,440 kepada sifar dalam tempoh lapan bulan pertama 2025 membuktikan bahawa dasar bersasar mampu menghasilkan impak luar biasa.

Lebih membanggakan, Sabah sebelum ini sinonim sebagai negeri dengan kadar miskin tegar tertinggi di Malaysia. Dengan purata saiz isi rumah seramai lapan orang, kejayaan ini secara langsung mengubah nasib lebih 107,000 rakyat Sabah — satu angka besar yang membawa kesan jangka panjang terhadap struktur sosial dan ekonomi negeri.

Bagi menangani tekanan kos sara hidup, Program Sentuhan Kasih Rakyat (Syukur) dilaksanakan sebagai jaringan keselamatan sosial dengan peruntukan RM358.5 juta. Bantuan RM300 sebulan selama setahun kepada 100,000 golongan miskin dan miskin tegar bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi juga talian hayat dalam tempoh getir yang dihadapi rakyat pasca pandemik dan ketidaktentuan ekonomi global.

Selain bantuan tunai, kerajaan turut memberi tumpuan kepada pembinaan kediaman mampu milik melalui program Rumah Mesra SMJ. Sejak dilancarkan pada September 2022, ribuan rumah telah dan sedang dibina, sekali gus mengangkat martabat kehidupan rakyat yang sebelum ini tinggal dalam kediaman serba daif. Perumahan yang selesa bukan sekadar soal fizikal, tetapi asas kepada kesejahteraan keluarga dan masa depan generasi seterusnya.

Lebih penting, agenda pembasmian kemiskinan Sabah tidak terhenti pada bantuan bersifat jangka pendek. Kerajaan memberi tumpuan besar kepada pemutusan rantaian kemiskinan generasi menerusi pelaburan besar dalam pembangunan modal insan. Lebih RM1.3 bilion dibelanjakan sejak 2021 untuk biasiswa, dana pendidikan dan bantuan pelajar, mencerminkan kepercayaan bahawa pendidikan adalah laluan paling berkesan untuk mengubah masa depan.

Peningkatan besar peruntukan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) ke tahap tertinggi dalam sejarah negeri menunjukkan perubahan keutamaan dasar. Pendidikan tidak lagi dilihat sebagai beban, tetapi sebagai pelaburan strategik jangka panjang. Cadangan pendidikan percuma di IPT milik kerajaan serta subsidi pinjaman kepada lebih 100,000 peminjam pula membuka satu dimensi baharu dalam akses pendidikan tinggi rakyat Sabah.

Dalam aspek infrastruktur pendidikan, peruntukan berbilion ringgit untuk membina sekolah baharu dan membaik pulih sekolah daif membuktikan bahawa Sabah tidak lagi mahu terus mewarisi jurang kemudahan pendidikan yang membelit sejak sekian lama. Pelaburan ini bukan sekadar pembinaan fizikal, tetapi pelaburan terhadap daya saing generasi masa depan.

Dari sudut ekonomi isi rumah, data Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan bahawa pendapatan rakyat Sabah semakin meningkat. Kenaikan pendapatan isi rumah penengah dan purata dalam tempoh lima tahun mengesahkan bahawa pertumbuhan ekonomi negeri bukan sekadar pada angka makro, tetapi turut dirasai di peringkat akar umbi.

Lebih signifikan, peningkatan gaji dalam kalangan siswazah Sabah memperlihatkan bahawa tenaga mahir tempatan semakin mendapat tempat dalam pasaran kerja. Ini satu perkembangan penting bagi negeri yang selama ini berdepan isu penghijrahan tenaga kerja muda ke luar Sabah.

Trend penurunan kadar pengangguran sejak 2020 hingga suku ketiga 2025 juga memberi isyarat bahawa pasaran pekerjaan semakin pulih dan berkembang. Walaupun kadar 5.7 peratus masih belum mencapai tahap guna tenaga penuh, arahnya jelas menuju kepada kestabilan.

Dalam sektor kesihatan, penambahan katil hospital, peningkatan jumlah kakitangan perubatan serta perancangan pembinaan pusat jantung, klinik baharu dan pusat perkhidmatan autisme membuktikan bahawa kebajikan kesihatan rakyat terus diberi perhatian. Kesihatan bukan sekadar perkhidmatan, tetapi jaminan kepada produktiviti dan kualiti hidup.

Tahap keselamatan di Sabah yang semakin baik turut menjadi faktor penting dalam kesejahteraan rakyat. Penurunan jenayah kekerasan dan harta benda dalam tempoh lima tahun membuktikan bahawa usaha pencegahan dan penguatkuasaan keselamatan sedang menampakkan hasil. Tambahan projek keselamatan maritim dan pos sempadan pula menggambarkan kesungguhan melindungi kedaulatan serta keselamatan negeri.

Keseluruhannya, perubahan yang sedang berlaku di Sabah hari ini memperlihatkan satu gambaran yang semakin jelas: kesejahteraan rakyat tidak lagi menjadi retorik, tetapi sedang dibina melalui dasar bersasar, pelaburan besar dan pentadbiran yang fokus.

Namun, seperti semua kejayaan pembangunan, cabaranja tidak pernah berakhir. Kejayaan hari ini perlu disertai dengan tadbir urus yang telus, kebertanggungjawaban yang tinggi serta disiplin fiskal yang ketat agar setiap ringgit yang dibelanjakan benar-benar sampai kepada rakyat yang memerlukan.

Kerana akhirnya, ukuran sebenar kejayaan sesebuah kerajaan bukan sekadar pada angka ekonomi atau laporan rasmi — tetapi pada sejauh mana kehidupan rakyatnya benar-benar berubah menjadi lebih bermaruah, selamat dan sejahtera.

Maju Nda Baranti.

RELATED ARTICLES
PendapatUtama

Sabah MyWI 2024: Peranan Wanita Dihargai, Agenda Pemerkasaan Terus Diperkukuh

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular