HomeSukanSabah FC cipta sejarah, juara Piala Cabaran

Sabah FC cipta sejarah, juara Piala Cabaran

Read Time:1 Minute, 6 Second

KOTA KINABALU: Sabah FC mencipta detik bersejarah apabila menjulang Piala Cabaran selepas menewaskan Penang FC 4-3 menerusi sepakan penalti dalam aksi final kedua di Stadium Likas, malam tadi.

Perlawanan berlangsung sengit selama 120 minit tanpa jaringan, sekali gus menyaksikan agregat terikat 1-1 selepas aksi pertama di Stadium Bandaraya.

Penang FC terlebih dahulu menguasai permainan pada separuh masa pertama dengan beberapa percubaan berbahaya, termasuk tandukan kapten Stefano Brundo yang hampir membuka tirai jaringan, namun gagal menemui sasaran.

Sabah bangkit pada babak kedua dengan aksi lebih agresif, diketuai Jafri Firdaus Chew yang beberapa kali menguji kecekapan penjaga gol lawan, Ramadhan Hamid.

Walaupun kedua-dua pasukan saling berbalas serangan, kekebalan benteng pertahanan serta ketangkasan penjaga gol masing-masing memastikan keputusan kekal 0-0 hingga ke wisel penamat masa tambahan.

Penentuan sepakan penalti menyaksikan debaran memuncak di hadapan lebih 20,000 penyokong tuan rumah apabila kedua-dua penjaga gol, termasuk Damien Lim, mempamerkan aksi cemerlang dengan beberapa siri menyelamat penting.

Detik penentuan hadir apabila pemain Penang FC, Adib Raop gagal menyempurnakan sepakan, sebelum Farhan Roslan tenang menyempurnakan sepakan terakhir untuk menghadiahkan kemenangan kepada Sabah.

Kejayaan ini menamatkan penantian panjang Sabah untuk meraih trofi domestik sejak kali terakhir muncul juara Liga Perdana pada 2019, sekali gus mengukuhkan kebangkitan semula pasukan The Rhinos dalam arena bola sepak tanah air. – SABAH MEDIA / FOTO MFL

RELATED ARTICLES
Sukan

Piala Cabaran : Sabah FC terima bonus RM700,000

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular