PRN SABAH
HomeUtamaPemergian Bung Moktar kehilangan besar buat UMNO dan BN - Ahmad Zahid

Pemergian Bung Moktar kehilangan besar buat UMNO dan BN – Ahmad Zahid

Read Time:1 Minute, 8 Second

KOTA KINABALU : Pemergian Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin disifatkan sebagai satu kehilangan besar kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid berkata, beliau bersama kepimpinan UMNO dan BN berasa amat pilu dan sedih dengan pemergian Allahyarham yang juga sahabat serta rakan seperjuangan dalam parti.

“Kami kehilangan beliau yang amat sangat. Saya meminta agar keluarga Allahyarham tenang, reda dan menerima qada dan kadar daripada Allah SWT serta bersabar atas dugaan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas hadir menziarahi dan solat jenazah di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu di sini pada Jumaat.

Zahid turut mengajak seluruh ahli parti serta umat Islam agar sama-sama mendoakan kesejahteraan roh Allahyarham supaya ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.

“Mudah-mudahan roh Allahyarham berada di sisi orang-orang yang beriman, insya-Allah,” katanya lagi.

Ahmad Zahid turut mengakui jasa dan pengorbanan besar Allahyarham Bung Moktar dalam mempertahankan UMNO Sabah, khususnya selepas tahun 2018 ketika parti itu berdepan cabaran getir.

Menurut beliau, Allahyarham adalah antara tiga daripada 25 Ketua Bahagian UMNO yang kekal setia ketika itu dan menjadi pemacu kepada kebangkitan semula UMNO di Negeri Sabah serta peringkat nasional.

Pemergian Bung Moktar bukan sahaja dirasai oleh kepimpinan parti, malah turut menyentuh perasaan ahli UMNO dan rakyat yang mengenali ketegasan serta keberanian Allahyarham dalam memperjuangkan nasib rakyat Sabah. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Program Pembersihan Pantai Tahunan Ke-11 teguhkan komitmen FOSTER terhadap pemuliharaan penyu...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular