KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yakin bahawa hak geran khas 40 peratus untuk Sabah akan dimuktamadkan tidak lama lagi berikutan hubungan baik antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
“Kita percaya bahawa hubungan yang rapat dan kukuh bukan sahaja perlu, malah penting untuk memastikan kemajuan berterusan. Ini termasuk perkara berkaitan kedaulatan, keselamatan, perpaduan dan kenegaraan.
“Walaupun kita memperjuangkan hak-hak Sabah, kita tidak boleh lupa tanggungjawab kita untuk menjaga kepentingan negara,” tegasnya.
“Saya yakin hubungan yang kukuh akan membawa banyak manfaat, termasuklah pemuktamadan obligasi Kerajaan Persekutuan berkaitan pembayaran hak hasil 40 peratus untuk Sabah, yang kita harap dapat dimuktamadkan tidak lama lagi demi kebaikan bersama,” katanya pada program Sentuhan Madani yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Sabtu.
Ketua Menteri turut menegaskan komitmen Kerajaan Negeri untuk menunaikan. tanggungjawab serta mengangkat martabat Sabah dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Matlamat utama kita adalah memacu kemajuan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat. Setiap perancangan yang dilaksanakan mesti memberi tumpuan. kepada kesejahteraan mereka, sama ada secara langsung atau tidak langsung, melalui peningkatan ekonomi dan peluang pekerjaan,” tambahnya.
Beliau berkata, mulai tahun depan, dasar pembangunan Sabah akan dipandu oleh pelan. Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0. Ini termasuk penubuhan tiga taman perindustrian baharu Taman Perindustrian Industri Ekonomi Biru di Kudat, Taman Perindustrian Minyak dan Gas di Beaufort, serta Taman Perindustrian Teknologi Tinggi dan Semikonduktor antara Kota Belud dan Kota Marudu bagi menampung minat pelabur yang semakin meningkat.
Mengulangi komitmen Kerajaan Negeri dalam menjaga kepentingan rakyat Sabah, Hajiji mengumumkan penambahbaikan program kebajikan sosial. Ini termasuk pembinaan 50 unit Rumah Mesra SMJ bagi setiap kawasan DUN untuk membantu golongan miskin dan miskin tegar, di samping bantuan kewangan bulanan RM300 untuk 100,000 penerima tahun depan.



