SEMPORNA : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna menerima dua serahan kes rampasan tanpa tuan daripada Pasukan Polis Marin melibatkan aktiviti penyelewengan barang kawalan di Kampung Mesra, di sini, pada Khamis.
KPDN Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, rampasan itu melibatkan sebanyak 7,850 liter minyak petrol yang disimpan di dalam 314 jeriken di sebuah rumah tanpa nombor dipercayai dijadikan lokasi penyimpanan barang kawalan secara haram.

Turut dirampas ialah dua buah bot laju dan dua unit enjin sangkut Yamaha 200 kuasa kuda (hp) yang dipercayai digunakan dalam kegiatan penyelewengan tersebut.
“Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM63,208.60. Hasil serbuan tersebut membawa kepada pembukaan dua kertas siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi tindakan lanjut.
“KPDN memberi amaran keras kepada mana-mana individu atau syarikat agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan dan tidak terlibat dalam sebarang aktiviti penyelewengan barang kawalan,” menurut kenyataan itu.

KPDN turut menegaskan bahawa pihak yang didapati melakukan kesalahan boleh dikenakan tindakan tegas di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Bagi individu, kesalahan boleh membawa hukuman denda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan berikutnya.
Sementara itu, syarikat yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM2 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM5 juta bagi kesalahan berikutnya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan penyelewengan barang kawalan boleh menyalurkan aduan melalui WhatsApp 019-848 8000, Call Centre 1-800-886-800, e-mel [email protected] atau aplikasi Ez ADU KPDN



