Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor atas kejayaan membentuk kerajaan negeri baharu selepas Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) ke-17.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan negeri demi kepentingan rakyat.
Menurutnya, kepimpinan Hajiji yang tenang dan berdisiplin menjadi contoh kepada pemimpin lain, terutama dalam memastikan pentadbiran negeri berjalan lancar selepas tempoh pilihan raya yang sengit.
“Saya ingin ucapkan tahniah setinggi-tingginya kepada Ketua Menteri. Beliau mempamerkan sikap tenang walaupun suasana di luar agak gemuruh.
“Kemenangan beliau adalah hasil kepimpinan yang mantap dan komited kepada rakyat,” katanya ketika berucap ketika menghadiri Majlis Sentuhan Madani Bersama Rakyat Negeri Sabah di Pusat Konvonsyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Sabtu.
Hadir sama Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan Timbalan-Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam; Datuk Seri Masidi Manjun dan Datuk Ewon Benedick.
Perdana Menteri menegaskan bahawa kemenangan pilihan raya bukan sekadar untuk kepentingan politik, tetapi sebagai tanggungjawab untuk melaksanakan agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat Sabah.
Beliau menambah, kerajaan Persekutuan komited untuk terus menyokong segala usaha Kerajaan Negeri Sabah dalam mempercepat pelaksanaan projek asas, termasuk bekalan air, elektrik, jalan kampung dan pembangunan pendidikan.
“Yang penting sekarang ialah kita bekerja sebagai satu pasukan. Politik bukan lagi soal menang atau kalah, tetapi soal memastikan rakyat mendapat manfaat sebenar daripada pentadbiran kita,” katanya.
Anwar juga menekankan bahawa muafakat dan kerjasama yang kukuh antara kerajaan Persekutuan dan negeri akan menjadi asas kepada kestabilan politik dan pembangunan mampan di Sabah sepanjang lima tahun akan datang.
“Kita boleh bertempur dan bergaduh dalam politik, tetapi jangan sampai rakyat sengsara. Kuasa dan pengaruh kita harus digunakan untuk mengukuhkan persahabatan serta kerjasama,” tambah beliau. – SABAH MEDIA



