Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Perbicaraan melibatkan lima remaja yang didakwa mencela Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir bermula hari ini, dengan dua saksi dipanggil untuk memberi keterangan di Mahkamah Kanak-Kanak.
Menurut Pegawai Perhubungan Awam Mahkamah, Cindy Mc Juce Balitus, kedua-dua saksi yang merupakan guru dari SMKA Tun Datu Mustapha memberikan keterangan mereka di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Marlina Ibrahim.
“Saksi pertama (PW1) merupakan guru akademik, manakala saksi kedua (PW2) ialah guru bimbingan dan kaunseling. Pemeriksaan balas terhadap saksi kedua dijadualkan bersambung esok, 9 Disember 2025,” katanya.
Prosiding di Mahkamah Kanak-Kanak dijalankan secara tertutup, dengan hanya pihak-pihak terlibat dibenarkan berada dalam mahkamah. Disebabkan perintah larangan, pihak media akan menerima maklumat hanya melalui pegawai mahkamah.
Pada 20 Ogos lalu, semua lima remaja berkenaan, yang identitinya tidak boleh didedahkan di bawah Akta Kanak-Kanak, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan.
Mereka didakwa bertindak dengan niat bersama dan menggunakan kata-kata hina terhadap mangsa berusia 13 tahun pada 15 Julai antara jam 10 malam hingga 11 malam. Kata-kata tersebut didengar dan berkemungkinan menyebabkan mangsa tertekan.
Kesemua remaja itu didakwa mengikut Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama. Kesalahan berkenaan membawa hukuman maksimum penjara setahun, denda, atau kedua-duanya.
Kesemua tertuduh dibenarkan ikat jamin RM5,000 setiap seorang, dengan RM1,000 perlu didepositkan bagi setiap remaja.
Empat daripada tertuduh diwakili peguam Azhier Farhan Arisin, Abdul Fikry Jaafar Abdullah, Fareez Salleh dan Sylyester Kuan. Seorang lagi tertuduh diwakili oleh peguam Datuk Ram Singh, Joan Goh dan Prem Elmer Ganasan.
Zara ditemui tidak sedarkan diri di asrama sekolahnya pada 16 Julai dan disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth keesokan harinya.



