KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan meneruskan pelaksanaan 14 inisiatif bantuan pendidikan yang diperkenalkan sejak tahun 2021 bagi memastikan lebih ramai pelajar di negeri ini mendapat akses kepada pendidikan berkualiti tanpa dibebani masalah kewangan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, komitmen kerajaan negeri terhadap pembangunan pendidikan kekal menjadi keutamaan kerana sektor berkenaan merupakan asas penting dalam melahirkan modal insan yang berilmu, berkemahiran dan berdaya saing.
Beliau berkata, pelbagai bentuk bantuan dan tajaan pendidikan yang diperkenalkan sebelum ini akan diteruskan bagi membantu pelajar serta keluarga, khususnya dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup dan perbelanjaan pendidikan.
“Kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian terhadap pembangunan pendidikan yang merangkumi peringkat awal kanak-kanak sehingga ke institusi pengajian tinggi.
“Sebanyak 14 inisiatif bantuan pendidikan yang diperkenalkan sejak tahun 2021 hingga 2025 akan diteruskan bagi meringankan beban pelajar serta keluarga di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik (MEKAR) Ke-14 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Selasa.
Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Pendidikan, Sains dan Teknologi Sabah, Datuk James Ratib .
Antara bantuan yang disediakan kerajaan negeri ialah Bantuan Tunai Pendaftaran Institusi Pengajian Tinggi Secara One-Off (BUDI), Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Negeri (SENTOSA), Bantuan Yuran Peperiksaan (BAYU), Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) dan Bantuan Ihsan Tabungan Pendidikan Negeri (BISTARI).
Hajiji berkata, pelaksanaan pelbagai bantuan tersebut membuktikan kesungguhan kerajaan negeri dalam memastikan setiap anak Sabah mempunyai peluang yang sama untuk melanjutkan pelajaran dan mencapai kecemerlangan akademik.
Katanya, pendidikan merupakan pelaburan jangka panjang yang amat penting dalam usaha membangunkan negeri serta meningkatkan taraf hidup rakyat.
“Melalui bantuan yang disediakan, kerajaan berharap dapat mengurangkan beban kewangan yang ditanggung oleh pelajar dan ibu bapa, sekali gus membolehkan mereka memberi tumpuan sepenuhnya kepada pembelajaran,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan negeri akan terus menambah baik dasar serta program pendidikan agar selari dengan keperluan semasa dan perkembangan teknologi yang pesat.
Menurutnya, usaha berterusan itu penting bagi memastikan generasi muda Sabah memiliki ilmu pengetahuan, kemahiran dan daya saing yang diperlukan untuk menghadapi cabaran masa depan.
Hajiji berkata, kerajaan negeri akan terus komited memperkukuh agenda pendidikan sebagai antara teras utama pembangunan Sabah demi melahirkan lebih ramai graduan dan tenaga kerja berkualiti yang mampu menyumbang kepada kemajuan negeri dan negara.



