Oleh Normimie Diun
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri digesa memberi perhatian serius terhadap isu pencerobohan nelayan pukat tunda di perairan Pantai Manis yang berlarutan dan menjejaskan sumber rezeki nelayan pesisir, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Manis, Datuk Pengiran Saifuddin Pengiran Tahir.
Beliau berkata, Pantai Manis merupakan kawasan strategik di pesisir Pantai Barat Sabah yang aktif dengan pelbagai aktiviti ekonomi, khususnya sektor perikanan yang menjadi sumber pendapatan utama sebahagian besar penduduk setempat.
Menurutnya, sektor perikanan bukan sahaja menyumbang kepada pendapatan isi rumah nelayan, malah memainkan peranan penting dalam rantaian keselamatan makanan negeri Sabah, khususnya dari segi kestabilan bekalan dan harga ikan di pasaran tempatan.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan (2026) 2025 dan Usul Anggaran Pembangunan 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini pada Isnin.
Sehubungan itu, Pengiran Saifuddin menarik perhatian Dewan terhadap isu pencerobohan nelayan pukat tunda di perairan Pantai Manis yang masih berterusan dan menimbulkan keresahan dalam kalangan nelayan pesisir.
Katanya, pencerobohan tersebut bukan sahaja menjejaskan pendapatan nelayan kecil, malah memberi kesan negatif terhadap kelestarian sumber marin serta ekosistem laut untuk jangka panjang.
“Nelayan pesisir yang bergantung sepenuhnya kepada zon perairan cetek sering menjadi pihak paling terkesan akibat persaingan yang tidak seimbang ini,” katanya.
Beliau berharap pihak berkuasa maritim dapat mempertingkatkan penguatkuasaan secara berterusan dan konsisten, termasuk rondaan berkala serta tindakan tegas terhadap pencerobohan, bagi memastikan nelayan pesisir dapat menjalankan aktiviti perikanan dalam keadaan lebih selamat dan terjamin.
Dalam pada itu, beliau berkata statistik Jabatan Perikanan Sabah menunjukkan sebahagian besar pengeluaran hasil perikanan negeri datang daripada sektor perikanan pesisir yang menyumbang secara langsung kepada kestabilan bekalan dan harga ikan di pasaran tempatan.
Berhubung perkara itu, beliau menyambut baik peruntukan sebanyak RM48.26 juta kepada Jabatan Perikanan Sabah dan RM25.11 juta kepada Lembaga Kemajuan Perikanan Nelayan Sabah (KONELAYAN) di bawah Belanjawan Negeri Sabah 2026.
Katanya, peruntukan berkenaan membuka peluang besar kepada Kerajaan Negeri untuk memperkukuh ekosistem perikanan secara menyeluruh, termasuk menaik taraf kemudahan asas seperti jeti pendaratan ikan, pusat pengumpulan hasil, kemudahan penyimpanan sejuk serta pelaksanaan program pemodenan nelayan.
Beliau berharap pelaksanaan peruntukan itu mengambil pendekatan berpaksikan keperluan sebenar nelayan di lapangan, khususnya di Pantai Manis, agar manfaatnya dapat dirasai secara langsung oleh komuniti nelayan kecil dan pesisir.



