Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Empat lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan bersama merosakkan kabel kemudahan rangkaian milik Telekom Malaysia Berhad (TM) bulan lalu.
Mohd Fardy Eddie, 43, Mohd Fikrey Dzulpie, 28, Sobree Ajilan, 39, and Mohamad Aidill Fittiry Jita, 28, membuat pengakuan itu di hadapan hakim Monica Linsua.
Mengiku pertuduhan mereka didakwa melakukan kesalahan itu dengan niat bersama pada 28 April lalu, jam 3.19 pagi berhampiran Merdeka Supermaket Lido, dekat sini.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 235(1) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 235(3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan kerana mempunyai niat bersama.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua duanya sekali.
Mahkamah menetapkan 9 Julai depan untuk pengurusan kes pra perbicaraan.
Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin tempatan.
Sobree diwakili peguam Faezah Abby Ibnu dan Azwa Safina Madlan, manakala Fardy diwakili peguam Khairudin Noordin. Dua lagi tertuduh tidak diwakili peguam.
Timbalan Pendakwa Raya Akaash Singh hadir bagi pihak pendakwaan.



