KUALA LUMPUR : Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak (OCC) menyambut baik dan menyokong inisiatif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang mewajibkan penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial berskala besar disifatkan sebagai pemegang lesen penyedia perkhidmatan aplikasi, berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026.
OCC dalam satu kenyataan memaklumkan, langkah tersebut selaras dengan peruntukan baharu Seksyen 46A Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Peruntukan Deeming), serta disifatkan sebagai satu langkah penting dalam memperkukuh penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 di Malaysia.
Menurut OCC, pengawalseliaan berkenaan merupakan perkembangan signifikan ke arah meningkatkan akauntabiliti platform digital yang beroperasi di negara ini, khususnya dalam aspek perlindungan kanak-kanak di ruang siber yang semakin mencabar.
“Di bawah Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC), kanak-kanak berhak dilindungi daripada semua bentuk kemudaratan, penderaan, eksploitasi dan keganasan, termasuk dalam persekitaran digital,” menurut kenyataan itu di sini pada Selasa.
OCC menjelaskan, kewajipan tersebut turut diperuntukkan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 yang menetapkan tanggungjawab semua pihak dalam melindungi kanak-kanak daripada kemudaratan fizikal, emosi dan psikologi, termasuk risiko yang wujud dalam landskap digital masa kini.
Sehubungan itu, OCC menegaskan bahawa platform digital berskala besar perlu memastikan perkhidmatan mereka direka bentuk dan ditadbir dengan mengambil kira kepentingan terbaik kanak-kanak, termasuk pelaksanaan perlindungan mengikut umur, kawalan terhadap kandungan berbahaya serta mekanisme pelaporan yang berkesan dan mudah diakses.
Peruntukan Deeming yang diperkenalkan oleh MCMC mengukuhkan prinsip bahawa platform yang memperoleh manfaat daripada jumlah pengguna yang besar di Malaysia perlu memikul tanggungjawab yang setara di bawah rangka kerja kawal selia negara.
Dalam pada itu, OCC turut menyatakan kesediaan untuk memperkukuh kerjasama dengan MCMC, agensi kerajaan berkaitan serta penyedia perkhidmatan bagi mewujudkan ekosistem digital yang lebih selamat dan berdaya tahan untuk kanak-kanak.
“Oleh itu, melindungi kanak-kanak dalam talian bukan satu pilihan, sebaliknya merupakan kewajipan undang-undang dan moral selaras dengan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa serta rangka kerja perlindungan kanak-kanak domestik Malaysia,” tambah kenyataan itu lagi.



