KOTA KINABALU: Sambutan Krismas Sabah 2025 bukan sekadar diraikan sebagai upacara keagamaan, sebaliknya menjadi platform penting untuk menyatukan rakyat Sabah dalam semangat muhibah, saling menghormati dan kebersamaan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, sambutan Krismas peringkat negeri itu mencerminkan kematangan sosial serta keindahan keharmonian rakyat Sabah, sekali gus membuktikan kepelbagaian agama, budaya dan latar belakang bukan pemisah, malah kekuatan yang menyatukan rakyat sebagai satu keluarga besar.
Katanya, tema sambutan tahun ini, “Pengharapan Damai dalam Kasih” amat bersesuaian kerana mengajak seluruh rakyat kembali kepada nilai asas kemanusiaan seperti kedamaian, kasih sayang, harapan dan tanggungjawab bersama.

Beliau menegaskan, harapan adalah keyakinan bahawa melalui kasih sayang, kehidupan yang lebih aman, makmur dan bermakna dapat dibina, manakala kedamaian sejati dizahirkan melalui rasa saling menghormati serta diperkukuhkan dengan perbuatan ihsan.
“Kasih sayang menjadi asas kepada semua bentuk perhubungan sama ada dalam keluarga, komuniti, masyarakat serta hubungan kita dengan alam sekitar. Inilah falsafah yang ingin kita semai sepanjang penganjuran Sambutan Krismas Sabah 2025,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Sambutan Sabah Christmas Celebration 2025 di Padang Merdeka, di sini, pada Selasa.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam.
Majlis itu turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman bersama isteri Toh Puan Faridah Tusin.
Hajiji berkata, selaras dengan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), sambutan ini turut menjadi wadah mengukuhkan nilai perpaduan sosial dan kesejahteraan rakyat.
Katanya, pembangunan yang dihasratkan kerajaan negeri bukan hanya diukur melalui kemajuan fizikal dan ekonomi, tetapi juga melalui keharmonian hubungan sesama insan, kekuatan institusi kekeluargaan, keprihatinan sosial serta rasa tanggungjawab terhadap ciptaan Tuhan.
“Saya amat berbesar hati kerana pelbagai program dan aktiviti telah dianjurkan sepanjang sambutan ini dengan penekanan kepada aspek keluarga, komuniti dan sosial yang saling melengkapi dalam membentuk masyarakat seimbang dan berdaya tahan.
“Sambutan ini mengingatkan kita bahawa keluarga adalah tempat bermulanya kasih sayang dan harapan. Dalam komuniti pula, semangat muafakat dan kerjasama menjadi kunci kepada kehidupan bermasyarakat yang harmoni,” katanya.
Hajiji percaya sambutan seperti ini mampu menjadi jambatan yang menghubungkan rakyat Sabah yang berbilang bangsa dan agama, sekali gus menampilkan wajah sebenar negeri ini yang kaya dengan kepelbagaian, namun kekal bersatu dalam nilai kemanusiaan.
Beliau berharap nilai murni yang diterapkan melalui sambutan ini akan terus memberi inspirasi kepada rakyat untuk mengekalkan keharmonian, kestabilan dan kesejahteraan negeri.
“Bagi pihak seluruh kepimpinan negeri, saya mengucapkan Selamat Menyambut Hari Krismas kepada seluruh rakyat Sabah yang meraikannya,” katanya.



