KOTA KINABALU: Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) menyerahkan Pendapatan dan Dividen berjumlah RM21.3 juta kepada wakil peneroka dan peserta dari Wilayah Pantai Timur dan Pantai Barat Sabah, hari ini.
Replika cek pendapatan dan dividen itu telah diserahkan oleh Pengurus Besar LKTNS,Datuk Syaheddrul R Joddari kepada wakil peneroka, Mohd Adzlie Jaidih (dua dari kanan) dan disaksikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, pada majlis ringkas di pejabat Ketua Menteri di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Safar Untong dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan, Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin.
Menurut Syaheddrul, walaupun berdepan pelbagai cabaran, LKTNS kekal komited memastikan kebajikan peneroka dan peserta terpelihara melalui pengurusan berhemah serta strategi pembangunan yang mampan.
Katanya, agihan dividen dan pendapatan kepada 2,119 peneroka LKTNS ini juga sebagai tanda menyokong komitmen kerajaan negeri dan Persekutuan dalam membasmi kemiskinan dan memperkukuh ekonomi masyarakat luar bandar.



