Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU: Sembilan pekan baharu dirancang untuk dibangunkan di seluruh Sabah bagi menyokong kepada pertumbuhan ekonomi setempat dan memperluas akses kemudahan asas kepada rakyat.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, rancangan pembangunan dibawah Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) itu merupakan antara langkah strategik untuk mewujudkan pusat pertumbuhan baharu, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Katanya, ia adalah selaras dengan perancangan pembangunan jangka panjang Sabah.
“Pekan-pekan baharu yang dirancang melibatkan Tongod, Paginatan, Merotai, Sungai Melayu (Sebatik), Sukau, Melalap, Ulu Dusun, Beluran serta Penangah, yang masing-masing dikenal pasti berpotensi menjadi nadi ekonomi kepada kawasan sekitarnya.
“Melalui pembangunan ini, kerajaan negeri menyasarkan penyediaan prasarana asas yang lebih sistematik, termasuk jaringan jalan raya, kemudahan awam, kawasan komersial dan perumahan, bagi meningkatkan kualiti hidup penduduk,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini pada Rabu.
Arifin berkata, pembangunan pekan baharu juga dijangka dapat menarik pelaburan tempatan, membuka peluang perniagaan serta mewujudkan peluang pekerjaan, sekali gus merancakkan aktiviti ekonomi di peringkat akar umbi.
Beliau menambah, pelaksanaan projek akan dibuat secara berperingkat dengan mengambil kira keperluan penduduk setempat serta pematuhan kepada garis panduan perancangan bandar dan kelestarian alam sekitar.
“Usaha ini mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan pembangunan dilaksanakan secara inklusif dan seimbang agar manfaatnya dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat,” katanya. – SABAH MEDIA



