HomeUtamaInisiatif tanaman hidroponik diperluas ke sekolah di DUN Lumadan

Inisiatif tanaman hidroponik diperluas ke sekolah di DUN Lumadan

Read Time:1 Minute, 23 Second

BEAUFORT : Inisiatif tanaman sayur secara hidroponik yang sebelum ini dilaksanakan di masjid kini diperluaskan ke institusi pendidikan khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan.

Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Ruslan Muharam berkata, inisiatif itu sekali gus memberi pendedahan awal kepada murid sekolah mengenai pertanian moden dan penjanaan ekonomi berskala kecil.

Katanya, selepas kejayaan pelaksanaan projek hidroponik di Masjid Weston dan Masjid Lumadan yang melibatkan golongan muslimah, pihaknya telah menyalurkan dana, peralatan serta khidmat nasihat bagi membolehkan program sama dilaksanakan di sekolah, bermula dengan Sekolah Kebangsaan (SK) Weston.

“Di Masjid Pekan Weston, projek hidroponik yang diusahakan oleh muslimah telah berjaya menjalani dua kali tuaian, manakala di SK Weston pula, hasil tanaman dijangka akan dituai dalam masa terdekat, mungkin seawal minggu hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Graduasi Tahun Enam dan Penyampaian Hadiah Sijil Rendah Ugama (SRU) 2025 di sini pada Jumaat.

Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, projek hidroponik itu bukan sahaja bertujuan mendidik murid mengenai teknik pertanian tanpa tanah, malah turut menyemai kesedaran tentang penggunaan ruang kosong yang terbiar secara lebih produktif.

Selain itu katanya, kaedah hidroponik dilihat sesuai dilaksanakan kerana tidak memerlukan kawasan yang luas serta mudah diurus, sekali gus berpotensi membantu keluarga menjimatkan perbelanjaan harian untuk pembelian sayur-sayuran.

“Kita yakin sekiranya dilaksanakan secara lebih besar, projek ini mampu menjadi satu sumber pendapatan tambahan kepada masyarakat, di samping memberi manfaat dari sudut pendidikan dan ekonomi,” jelasnya.

Tambah beliau, beberapa lagi sekolah di sekitar DUN Lumadan dikenal pasti untuk pelaksanaan projek sama dan peluasan ini akan diteruskan secara berperingkat, selaras dengan usaha memperkasa komuniti melalui pembangunan mampan dan berimpak tinggi. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Ahli politik dipenjara 8 bulan, denda RM5,000 cabul remaja

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular