HomeUtamaPerpaduan kukuh asas keharmonian masyarakat majmuk Sabah

Perpaduan kukuh asas keharmonian masyarakat majmuk Sabah

Read Time:1 Minute, 13 Second

KOTA KINABALU: Perpaduan dan toleransi beragama yang tinggi dalam kalangan masyarakat majmuk terus menjadi asas kepada keharmonian serta kestabilan sosial di negeri ini.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Joniston Bangkuai berkata, meskipun negeri ini dihuni pelbagai kaum, bangsa dan anutan agama, namun masyarakat Sabah berjaya mengurus perbezaan dengan sikap saling menghormati dan memahami.

Katanya, ini sekali gus membentuk hubungan harmoni yang menjadi kebanggaan bersama.

“Nilai kasih sayang, ihsan dan toleransi perlu terus diperkukuhkan sebagai teras kehidupan bermasyarakat, terutama dalam mendepani cabaran global yang menyaksikan peningkatan insiden ekstremisme dan konflik berasaskan perbezaan agama serta kaum di beberapa negara.

“Keharmonian yang kita nikmati hari ini tidak berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil komitmen bersama masyarakat dalam mengekalkan sikap setiakawan, kerjasama dan hormat-menghormati antara satu sama lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Krismas Inanam 2025 di Pekan Inanam di sini pada Sabtu.

Joniston berkata, semangat perpaduan yang tinggi dalam kalangan rakyat Sabah membuktikan kematangan masyarakat majmuk dalam mengurus kepelbagaian secara positif tanpa menimbulkan perpecahan.

Beliau turut menegaskan bahawa keharmonian antara kaum dan agama bukan sahaja penting untuk kestabilan sosial, malah menjadi faktor penting dalam menjamin kesejahteraan dan keamanan jangka panjang negeri.

“Kita mahu Sabah terus dikenali sebagai negeri yang aman, stabil dan harmoni, di mana perbezaan diraikan sebagai kekuatan, bukan alasan untuk perpecahan,” katanya.

Menurutnya lagi, perpaduan yang kukuh ini perlu dipelihara dan diperkasakan oleh semua pihak agar Sabah kekal menjadi contoh kepada negeri dan negara lain dalam mengamalkan kehidupan bermasyarakat yang harmoni.

RELATED ARTICLES
Utama

Akses internet akan diperluas untuk sekolah luar bandar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular