KOTA KINABALU: Seorang ustaz yang tular menerusi rakaman video berkaitan kejadian memukul sekumpulan pelajar madrasah didenda keseluruhan RM18, 200 atas 13 pertuduhan menyebabkan kecederaan, hari ini.
Tertuduh, Saifur Rahman Mohd Ismail, 38, mengaku bersalah terhadap kesemua pertuduhan di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus.
Mahkamah menjatuhkan denda RM1,400 bagi setiap pertuduhan, atau penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Tertuduh mengaku dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan terhadap 13 pelajar berusia antara 14 tahun dan 20 tahun pada 14 Disember lalu, di antara jam 11.55 malam hingga 11.58 malam, bertempat di hadapan kedai Gaming Zone, Bandar Sierra, dekat sini.
Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai satu tahun atau denda boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Semasa rayuan, peguam Mohd Ari Nadzrah Abd Rahman memohon hukuman ringan, dengan menyatakan bahawa tertuduh hanya bekerja sebagai seorang ustaz dengan sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan serta merupakan pesalah pertama.
“Berdasarkan fakta kes, tertuduh mendapati mangsa telah keluar dari asrama sekitar jam 11.30 malam, yang menyebabkan tertuduh berasa marah. Walaupun perkara itu bukan alasan untuk memukul mangsa, ia merupakan faktor mitigasi yang wajar dipertimbangkan. Hasil siasatan juga mendapati mangsa hanya mengalami kecederaan tisu lembut dan lebam,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa laporan polis dibuat oleh pihak polis sendiri, dan bukannya oleh mangsa atau ibu bapa mangsa.
Namun, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Fazriel Fardiansyah Abdul Kadir memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal atau lebih berat, mengambil kira keseriusan kes serta kepentingan awam.
Beliau berkata hukuman tersebut perlu berfungsi sebagai pengajaran untuk menghalang tertuduh daripada mengulangi perbuatan sama, selain memberi isyarat jelas bahawa mahkamah tidak akan bertolak ansur terhadap kesalahan seumpama itu.
Terdahulu, mahkamah mendengar bahawa laporan polis dibuat pada 15 Disember lalu kira-kira jam 7.07 malam, susulan penularan video kejadian berkenaan, yang menunjukkan tertuduh memukul mangsa-mangsa.
Hasil siasatan mendapati bahawa pada 14 Disember lalu kira-kira jam 11.55 malam, seramai 13 pelajar lelaki yang berada di Kedai Gaming Zone di Bandar Sierra telah dipukul oleh tertuduh menggunakan topi keledar miliknya.
Tertuduh tidak menyedari bahawa perbuatannya telah dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di luar premis tersebut.
Mangsa-mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak serta Hospital Queen Elizabeth, dan disahkan mengalami kecederaan tisu lembut.
Siasatan lanjut mengesahkan bahawa tertuduh telah menyebabkan kecederaan kepada kesemua mangsa dengan memukul mereka menggunakan topi keledar.
Tertuduh sudah membayar denda.



