HomeUtamaPolis tumpaskan kes pecah rumah dan curi kenderaan, dua suspek ditahan

Polis tumpaskan kes pecah rumah dan curi kenderaan, dua suspek ditahan

Read Time:1 Minute, 29 Second

KOTA KINABALU: Dua suspek tempatan ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam kes pecah rumah dan curi kenderaan menerusi satu operasi khas yang dijalankan di sekitar kawasan Menggatal, lewat malam semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda, berkata tangkapan itu hasil tindakan pantas dan risikan terperinci oleh Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, sekali gus berjaya menyelesaikan kes berkenaan dalam tempoh kurang 24 jam.

Menurutnya, kedua-dua suspek terdiri daripada seorang lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 30-an ditahan dalam dua serbuan berasingan di sekitar Menggatal pada malam kejadian.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek terlibat dalam satu kes utama pecah rumah dan curi kenderaan yang berlaku di kawasan Taman Ujana Kingfisher, selain dipercayai mempunyai kaitan dengan tiga lagi kes pecah rumah di sekitar daerah Luyang dan Menggatal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, polis turut merampas pelbagai barangan dipercayai hasil kegiatan jenayah, termasuk sebuah kenderaan, peralatan pecah rumah yang diubah suai, telefon bimbit pelbagai jenama, jam tangan pintar, komputer tablet, kamera digital, beg tangan serta barangan peribadi lain.

Tambahnya, hasil semakan mendapati seorang daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kes pecah rumah, curi dan kes berkaitan dadah, manakala seorang lagi suspek juga mempunyai rekod jenayah terdahulu bagi kes seumpama itu.

“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati seorang suspek didapati positif dadah, manakala seorang lagi negatif,” katanya.

Kedua-dua suspek kini direman dan disiasat mengikut Seksyen 457 dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan, manakala siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti penglibatan mereka dalam kes jenayah lain di sekitar Kota Kinabalu.

Dalam pada itu, Kasim menegaskan komitmen Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya IPD Kota Kinabalu, dalam membanteras jenayah harta benda serta menyeru orang ramai agar terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah demi keselamatan bersama.

RELATED ARTICLES
Utama

Rakyat Sabah diseru terus pelihara hubungan baik antara kaum, agama –...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular