Oleh Wan Azrain Adnan
Kuala Lumpur,– Rakyat Malaysia secara umumnya masih menikmati tahap kesejahteraan hidup yang baik pada tahun 2024, walaupun peningkatan indeksnya adalah kecil, mencerminkan realiti semasa di mana sebahagian rakyat terus berdepan cabaran dalam mencapai kehidupan yang lebih selesa, berkualiti dan mampan.
Perkara itu dirumuskan berdasarkan Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia 2024 (IKRM 2024) atau Malaysian Well-Being Index 2024 (MyWI 2024) yang diterbitkan baru-baru ini oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), meliputi tiga subkomposit utama iaitu Ekonomi, Sosial dan Alam Sekitar yang merangkumi 16 komponen serta 84 indikator keseluruhan.
| Subkomposit | Komponen | Indikator |
| Ekonomi | 4 Komponen: Pengangkutan, Komunikasi, Pendapatan & Pengagihan, Persekitaran Kerja | 19 Indikator |
| Sosial | 9 Komponen: Pendidikan, Perumahan, Hiburan & Rekreasi, Keselamatan Awam, Penyertaan Sosial, Tadbir Urus, Kebudayaan, Kesihatan, Keluarga | 59 Indikator |
| Alam Sekitar | 3 komponen: Udara, Air, Sumber Biodiversiti | 6 Indikator |
DOSM memaklumkan IKRM 2024 merekodkan peningkatan kecil sebanyak 1 peratus, daripada 119.4 mata kepada 120.6 mata, dengan ketiga-tiga subkomposit turut menunjukkan peningkatan marginal.
Subkomposit Ekonomi meningkat 1.7 peratus, daripada 126.6 kepada 128.8 mata, manakala subkomposit Sosial naik 0.9 peratus daripada 120.7 kepada 121.8 mata, sementara Alam Sekitar mencatat kenaikan minimum 0.2 peratus, daripada 105.7 kepada 105.9 mata.
Dalam tempoh 24 tahun (2000 hingga 2024), IKRM serta subkomposit Ekonomi dan Sosial merekodkan trend peningkatan ketara, masing-masing naik 20.6 mata, 28.8 mata dan 21.8 mata, namun subkomposit Alam Sekitar berkembang lebih sederhana dengan kenaikan 5.9 mata sahaja.
Bagi subkomposit Ekonomi, tiga komponen utama iaitu Pengangkutan, Komunikasi, serta Pendapatan dan Pengagihan menunjukkan peningkatan, sementara komponen Persekitaran Kerja mencatat penurunan 0.3 peratus pada 2024.
Komponen Pendapatan dan Pengagihan merekodkan peningkatan tertinggi 4.6 peratus, daripada 128.8 kepada 134.7 mata, mencerminkan perkembangan positif dalam pendapatan rakyat.
Komponen itu diukur melalui empat indikator iaitu pendapatan negara kasar per kapita, Pekali Gini, insiden kemiskinan dan purata pendapatan isi rumah bulanan.
Sebelum ini, Menteri Kewangan II dilaporkan berkata Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah 2024 (HIES 2024) menunjukkan Purata Pendapatan Bulanan Isi Rumah melonjak 16 peratus, daripada RM7,901 pada 2019 kepada RM9,155 pada 2024, manakala insiden miskin mutlak menurun daripada 8.4 peratus (2020) kepada 5.8 peratus.
Komponen Persekitaran Kerja yang turun kepada 115.2 mata daripada 115.6 mata, merangkumi lapan indikator antaranya purata jam bekerja, kadar pekerjaan, kadar pengangguran jangka panjang, kehilangan hari bekerja akibat tindakan perusahaan, kadar kemalangan industri dan perjalanan, serta peratus tenaga buruh bekerja melebihi 45 jam seminggu.
DOSM menjelaskan, penurunan komponen itu didorong oleh peningkatan kehilangan hari bekerja akibat tindakan perusahaan, serta lebih ramai tenaga buruh bekerja lebih 45 jam seminggu, menandakan keperluan penambahbaikan terhadap persekitaran pekerjaan negara.
Sementara itu, dalam subkomposit Sosial, enam komponen mencatat peningkatan iaitu Penyertaan Sosial, Tadbir Urus, Perumahan, Hiburan dan Rekreasi, Kebudayaan serta Keselamatan Awam, manakala tiga komponen lain merekodkan penurunan iaitu Pendidikan, Kesihatan dan Keluarga.
Komponen Perumahan yang meningkat 24.6 mata sepanjang 24 tahun, menggambarkan kemajuan besar dalam akses, keselesaan dan kualiti kediaman rakyat, diukur melalui enam indikator iaitu peratus unit rumah kos rendah kepada isi rumah B40, bekalan air terawat, liputan kutipan sampah, bilangan penghuni sebilik dan kemampuan pemilikan kediaman.
Komponen Pendidikan menurun pada 2024 disebabkan penurunan beberapa indikator seperti peratus guru siswazah sekolah menengah, kadar literasi, penyertaan prasekolah, akses pendidikan awal kanak-kanak, serta peratus penduduk 25-64 tahun berpendidikan menengah atas dan berijazah universiti.
Walau bagaimanapun, dalam tempoh 24 tahun, komponen itu merekodkan peningkatan besar 47.8 mata, mencerminkan kemajuan menyeluruh dalam akses dan pencapaian pendidikan nasional.
Komponen Keluarga turut menurun pada 2024 akibat peningkatan tiga indikator iaitu hutang isi rumah per kapita, kadar penceraian dan kes keganasan rumah tangga.
Lebih membimbangkan, komponen itu menunjukkan trend penurunan berterusan sepanjang 24 tahun, daripada 100.0 mata (2000) kepada 94.3 mata (2024), mencerminkan isu kekeluargaan yang semakin meruncing dan memerlukan penyelesaian jangka panjang secara menyeluruh.
Bagi subkomposit Alam Sekitar, dua komponen meningkat iaitu Udara dan Sumber Biodiversiti, manakala komponen Air merekodkan penurunan pada 2024.
DOSM memaklumkan walaupun komponen Udara meningkat sedikit pada 2024, trend penurunannya kekal ketara, jatuh kepada 74.6 mata pada 2024 berbanding 100.0 mata pada 2000, menandakan dua indikator utama iaitu kualiti udara dan pelepasan gas rumah kaca kekal sebagai isu kritikal yang memerlukan tindakan segera.
Sebaliknya, komponen Air melonjak 42.8 mata dalam tempoh 24 tahun, daripada 100.0 mata kepada 142.8 mata pada 2024, namun menunjukkan trend penurunan sejak tiga tahun kebelakangan ini, sekali gus menuntut perhatian lebih berkesan terhadap pengurusan dan pemuliharaan kualiti air negara.



