KOTA KINABALU: Satu insiden tular di kawasan awam Tanjung Lipat mencetuskan gesaan supaya siasatan segera dan menyeluruh dijalankan oleh pihak berkuasa.
Gesaan itu disuarakan Timbalan Presiden Kelab Komuniti Sayang Sabah, Steve Johnny Mositun, susulan penyebaran rakaman video yang memaparkan dua individu dipercayai melakukan perlakuan tidak wajar di lokasi awam berkenaan.
Menurut Steve, insiden tersebut menimbulkan kebimbangan masyarakat kerana ia dilakukan secara terbuka tanpa menghiraukan norma sosial, adab dan sensitiviti awam.
“Tempat awam bukan ruang peribadi, dan Sabah tidak seharusnya menjadi pentas untuk menormalisasikan tingkah laku yang jelas bertentangan dengan adab, budaya serta nilai ketimuran,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menegaskan bahawa kebebasan individu tidak boleh disalah tafsir sehingga menghakis maruah diri dan keharmonian masyarakat.
“Kebebasan bukan lesen untuk hilang maruah. Hak individu juga tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabaikan sensitiviti masyarakat awam,” katanya.
Sehubungan itu, Steve menggesa pihak berkuasa meneliti insiden berkenaan secara menyeluruh, termasuk peranan pihak yang merakam dan menyebarkan kandungan terbabit sekiranya didapati melanggar peruntukan undang-undang sedia ada.
“Tindakan perlu dipertimbangkan bukan sahaja terhadap individu yang terlibat, tetapi juga terhadap pihak yang merakam dan menyebarkan rakaman tersebut sekiranya melanggar peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.
Steve turut mengingatkan bahawa sikap berdiam diri dan menganggap perkara seperti ini sebagai sesuatu yang biasa boleh membawa kepada kemerosotan nilai moral dalam jangka panjang.
“Jika hari ini kita menganggap perkara ini biasa, jangan terkejut apabila suatu hari nanti perkara yang sebelum ini dianggap luar biasa menjadi norma dalam masyarakat,” katanya.
Beliau menyeru semua pihak agar bersama-sama memelihara nilai akhlak, adab dan tanggungjawab sosial demi masa depan generasi akan datang.
“Menjaga Sabah bukan hanya tentang pembangunan fizikal, tetapi juga menjaga nilai dan maruah masyarakatnya,” katanya.



