RANAU : Masyarakat di daerah ini diseru agar mengetepikan perbezaan politik dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada kerja dan usaha bagi membangunkan daerah selepas berakhirnya Pilihan Raya Umum (PRU) Sabah ke-17 baru-baru ini.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Masidi Manjun berkata, musim berpolitik telah berakhir dan kini adalah masa terbaik untuk semua pihak bekerjasama demi kepentingan rakyat.
“Pilihan raya sudah habis. Jangan lagi kita bercakap soal parti ini atau parti itu. Sekarang masanya untuk kita mula bekerja bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konsert Kita Orang Ranau di Pentas Budaya Pekan Ranau di sini pada Sabtu.
Masidi yang juga Menteri Kewangan turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada masyarakat Ranau atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan bagi mewakili rakyat di kawasan itu.
Beliau berkata, masyarakat Ranau memiliki kebolehan dan potensi besar untuk mencapai kecemerlangan dalam pelbagai bidang sekiranya diberikan peluang dan sokongan yang sewajarnya.
“Saya cukup yakin dengan kemampuan orang Ranau. Setiap daripada kita boleh menunjukkan kejayaan dalam profesion masing-masing jika kita bersatu dan bekerjasama,” katanya.
Sementara itu, Masidi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan turut mengajak semua pihak untuk memberi fokus kepada usaha membuktikan keupayaan masyarakat Ranau dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Kita tunggu lima tahun lagi untuk bercakap soal parti. Hari ini adalah masa untuk orang Ranau membuktikan kecemerlangan dan menunjukkan bahawa kita mampu menjadi yang terbaik di Sabah,” tambahnya.
Terdahulu, lebih 4,000 masyarakat daerah ini hadir memeriahkan Konsert Kita Orang Ranau yang dimeriahkan dengan persembahan artis tempatan termasuk Dabra Sia dan Stacy. – SABAH MEDIA / FOTO MASIDI MANJUN FANS



