SIPITANG : Seorang pelanggan perkhidmatan internet terkemuka meluahkan kekecewaan terhadap mutu liputan telekomunikasi dan khidmat pemulihan rangkaian di kediamannya, meskipun aduan rasmi telah dibuat sejak 19 Disember lalu, namun gangguan itu masih gagal diselesaikan sehingga kini.
Pengguna berkenaan, yang melanggan perkhidmatan internet bagi kediaman di Kampung Marintaman, di sini, memaklumkan talian internet di rumahnya terputus secara tiba-tiba dan masih belum berjaya dibaik pulih.
Meskipun aduan secara rasmi telah dibuat, mutu liputan yang kurang memuaskan itu menyebabkan urusan tugasan hariannya yang amat bergantung kepada capaian rangkaian stabil terganggu sama sekali.
Situasi itu turut merugikan beliau memandangkan internet merupakan keperluan utama bagi menyempurnakan tanggungjawab kerja, selain memberi kesan kepada tugasannya.
Gangguan berpanjangan itu menjadi lebih malang apabila ia berlaku ketika sambutan Krismas dan musim cuti persekolahan, yang pastinya memerlukan liputan internet yang lebih tinggi.
Beliau berharap pihak penyedia perkhidmatan internet mengambil tindakan lebih serius dan proaktif, khususnya dalam memastikan kualiti liputan di kawasan luar bandar tidak terus dipinggirkan, selain mempercepatkan kerja pemulihan apabila gangguan dilaporkan.
Penduduk setempat juga menggesa agar penyedia telekomunikasi dan internet mempertingkatkan komitmen penyelenggaraan rangkaian serta menambah baik capaian liputan di daerah Sipitang demi kepentingan pengguna dan komuniti secara keseluruhan – SABAH MEDIA



